Walk For Autism Di Sungai Petani Peluang Anak Autisme Beriadah

Antara aktiviti yang pernah dilakukan oleh Pertubuhan Sokongan Ibu Bapa Kanak-kanak Autisme sebelum ini.
SUNGAI PETANI – Pertubuhan Sokongan Ibu Bapa Kanak-kanak Autisme merayu masyarakat memberi sokongan terhadap program Walk For Autism yang julung kali dianjurkan di Sungai Petani, 1 April depan.

Pengerusi pertubuhan, Syarul Nizar Abdullah berkata, ia bertujuan meraikan sambutan Hari Autisme Sedunia selain memberi kesedaran kepada masyarakat tentang kewujudan anak-anak autisme di sekeliling mereka.

Menurutnya, ia bertujuan menyatakan sokongan terhadap pertubuhan sekali gus memberi peluang kepada anak-anak autisme melakukan aktiviti bersama keluarga dan masyarakat.

“Setakat ini pertubuhan mempunyai 30 anak-anak autisme berdaftar berusia antara empat hingga 16 tahun sejak mula ditubuhkan pada 2012, namun dijangka masih ramai lagi golongan sebegini di luar sana,” katanya.

Menurut Syarul, pihaknya mensasarkan 300 peserta terlibat dengan perjalanan sejauh lima kilometer itu bermula dari kawasan tempat letak kereta Giant Hypermarket, Sungai Petani seawal jam 6.45 pagi.

“Kumpulan pertama ini akan bergerak menuju ke Dataran Jam Besar dan diikuti dengan kumpulan kedua yang disertai kanak-kanak autisme bersama ibu bapa mereka yang menunggu di Jam Besar sebelum meneruskan baki perjalanan sejauh satu kilometer menuju ke Taman Jubli Perak,” katanya.

Program amal ini akan diiringi Geng Alza Biru (GAB) di mana kumpulan ini akan mengumpul seberapa banyak ahli untuk sama-sama beri sokongan bagi mengiringi perjalanan peserta Walk For Autisme.

“Peserta dijangka sampai kira-kira jam 9 pagi di Taman Jubli Perak yang turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti menarik yang dirancang.

“Antaranya kehadiran pelukis autisme, pelukis tangan dan kaki, pemeriksaan kesihatan Universiti Aimst, pendaftaran orang kurang upaya (OKU), jualan produk OKU, pendaftaran Kelab Rakan Muda, demo pakaian tradisional Jepun, saringan autisme oleh Jabatan Kesihatan dan lain-lain,” katanya.

Penganjur turut memberi peluang kepada peserta yang ingin memberi sokongan namun tidak dapat hadir, melalui Walk From Home dengan penyertaan hanya RM35 di mana cenderahati berupa baju-T akan diserahkan melalui pos selepas tamat program.

Katanya, antara tujuan penganjuran juga ialah mengumpul dana bagi menggerakkan kelas intervensi awal untuk kanak-kanak autisme yang dijangka dimulakan Mei depan di pejabat urusan dekat Taman Melor, Sungai Petani.

Dana boleh disalurkan melalui akaun Bank Islam Malaysia Berhad bernombor 02-020-01-006988-0, atau  menghubungi talian 013-494 5353 (Syarul) dan 017-534 6268 (Shahnor Fadhilah-Setiausaha).

Sumber: Sinar Harian