Yayasan Sabah Milik Rakyat Sabah – Musa Aman


SANDAKAN – Yayasan Sabah (YS) bukan milik individu, sebaliknya milik rakyat Sabah, kata Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.

Beliau berkata sejak ditubuhkan 50 tahun lepas yang diilhamkan bekas Ketua Menteri Sabah Allahyarham Tun Mustapha Datu Harun, YS berjaya mencapai matlamat penubuhannya khususnya pembangunan modal insan dengan menghasilkan anak-anak tempatan berpendidikan.

Katanya ada pemimpin parti pembangkang di negeri ini dalam meraih sokongan rakyat mahu melakukan penstrukturan semula YS dan membina universiti jika menang dalam pilihan raya nanti.

“Sabah juga mempunyai banyak universiti awam dan swasta. Tidak tahu universiti apa lagi mereka ingin wujudkan,” kata Musa, yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YS, ketika melancarkan Jerayawara Yayasan Sabah Bersama Rakyat di sini, semalam.

YS sendiri, katanya, juga berjaya mewujudkan pendidikan dari awal persekolahan hingga universiti menerusi penubuhan tadika dan Kolej Universiti Yayasan Sabah.

Justeru, Musa yakin penganjuran jerayawara ini akan membolehkan penerangan diberi kepada rakyat di seluruh Sabah tentang usaha dan kejayaan YS dalam melaksanakan program pembangunan insan serta sosial.

Terdahulu, Pengarah YS Datuk Sapawi Ahmad berkata pembabitan Kumpulan YS dalam beberapa sektor strategik dan produktif mendatangkan hasil untuk terus relevan menyediakan dana program sosial dan biasiswa pelajar.

Katanya antara sektor itu adalah minyak dan gas di Kimanis Papar, pembinaan Pusat Kraftangan Sabah di Keningau, penubuhan Kolej Universiti Yayasan Sabah dan pembinaan Pusat Konyensyen Antarabangsa Sabah di Kota Kinabalu.

Menurutnya pembabitan dalam sektor itu dilaksanakan di bawah Pelan Transformasi 2013-2023 membolehkan Kumpulan YS kini menguasai beberapa aktiviti perniagaan strategik yang menguntungkan. – BERNAMA