Zairil Elak Jawab Media Berhubung Isu Video Tular

AHLI Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari ditemuramah wartawan di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang. - Foto Danial Saad
ALOR SETAR - Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari dilaporkan memberi reaksi seolah-olah tidak faham soalan media dan bergegas meninggalkan sidang media selepas melontarkan semula persoalan kepada wartawan.

Zairil yang juga merupakan Naib Pengerusi DAP Pulau Pinang hanya mampu bertanyakan video mana yang dimaksudkan media sambil mengeluarkan telefon bimbitnya dan bergegas pergi begitu saja tanpa memberi sebarang jawapan.

"Video mana?," tanya Zairil ringkas, memetik laporan rakan media yang membuat liputan di Georgetown, hari ini.

Zairil sebelum itu diasak wakil-wakil media yang hadir yang bertanyakan soalan sama ada dia sudah membuat laporan polis berhubung klip video seorang lelaki yang dikatakan miripnya sedang berhibur di sebuah kelab malam sambil berpeluk dengan seorang wanita.

Kelmarin, Naib Pengerusi Parti Gerakan Pulau Pinang, Oh Tong Keong, dipetik sebagai berkata sekiranya individu di dalam video terbabit bukan Zairil, dia perlu membuat laporan polis bagi memastikan perkara itu tidak benar.

Difahamkan sekumpulan wartawan yang tertunggu-tunggu dirinya di luar Mahkamah Tinggi Pulau Pinang hari ini bagi mengemukakan soalan berkenaan, namun kecewa tidak mendapat jawapan yang sewajarnya.

Sebelum itu, Zairil menafikan video lelaki berkaca mata sedang menari sambil berpelukan dengan seorang wanita dalam rakaman berdurasi 15 saat berkenaan adalah dirinya dan menyifatkan ia adalah mengarut.

Selain itu, dikatakan rakaman video itu turut dikongsi laman sosial penyokong Harimau Kumbang yang mempersoalkan perkara itu dalam keadaan prestasi merosot pasukan.

Malah difahamkan mereka turut mendesak Zairil yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) tampil memberikan penjelasan mengenai kontroversi berkenaan video tersebut. -Kedahnews.com