Zairil Khir Johari Saran PAS Jadi Tabligh?


KUALA LUMPUR – Pemimpin Melayu DAP mencadangkan PAS menyertai tabligh atau tarekat sufisme jika mahu terus bercakap tentang mendapat keredhaan Allah S.W.T dan pembalasan akhirat.

Penolong Setiausaha Publisiti DAP, Zairil Khir Johari berkata, PAS tidak wajar menjadi sebuah parti politik di Malaysia jika mahu terus berkata tentang perkara itu.

Tambah beliau, PAS juga tidak wajar menjadi parti politik kerana tidak memiliki wawasan untuk mengubah dasar negara ini supaya lebih adil kepada semua.

“Sesungguhnya, sebuah parti politik harus bermatlamat untuk memberi impak terhadap dasar negara.

“Jika PAS tidak lagi memiliki wawasan ini, maka apa gunanya menggelarkan diri sebagai parti politik?,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.

Dalam pada itu, Zairil berkata, beliau sedih melihat arah tuju PAS di bawah kepimpinan terkini kerana didakwa mengorbankan prinsip lama parti itu.

Dakwa beliau, bekas Mursyidul Am PAS, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat semasa hayatnya sentiasa mempertahankan kerjasama PAS dengan DAP.

Bagaimanapun, dakwanya, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjadi penghadang kepada permuafakatan dengan DAP sejak Nik Abdul Aziz meninggal dunia.

DAP baru-baru ini memujuk PAS untuk kembali bekerjasama bagi mendapatkan sokongan ahli dan penyokong PAS ke atas Pakatan Harapan.

PAS bagaimanapun menolak pelawaan tersebut sebaliknya kelihatan mesra dengan parti terbesar kaum Melayu iaitu UMNO.

Berikutan itu, pemimpin dan penyokong Pakatan Harapan melancarkan pelbagai propaganda di media sosial bagi memburuk-burukkan PAS sepert yang mereka lakukan ke atas UMNO selama ini.

PAS disingkirkan daripada pakatan pembangkang oleh DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dua tahun lalu kerana enggan tunduk dalam beberapa isu akidah Islam yang dianggap menyusahkan pembangkang. –Kedahnews.com