Zakaria Laksa Teluk Kechai Antara Tarikan Paling "Power" Di Kedah


ALOR SETAR - Bagi mereka yang pernah berkunjung ke negeri Kedah dan gemar melakukan aktiviti "jalan-jalan cari makan", pastinya mereka tidak akan melepaskan peluang untuk mencuba Laksa Teluk Kechai yang popular seantero utara ini.

Laksa Teluk Kechai adalah antara laksa yang popular di utara ekoran kelainannya yang dihidang bersama sambal kelapa yang akan mencetus rasanya, lain dari yang lain.

Antara premis terkenal yang menyajikan Laksa Teluk Kechai yang "famous" di negeri ini adalah Laksa Zakaria Teluk Kechai yang berlokasi di Jalan Kuala Kedah, Kampung Klong Hoi.


Dibuka setiap hari bermula 12 tengah hari sehingga 10 malam, restoran Laksa Zakaria Teluk Kechai menjadi persinggahan orang ramai dari dalam dan luar negara tanpa mengira peringkat umur mahupun kaum sekiranya mereka menjejakkan kaki ke Alor Setar.

Semangkuk laksa hanya berharga serendah RM3.50 dan harga bagi sekilo laksa beserta bahan dan kuahnya pula pula RM14 boleh dibeli untuk dibawa pulang ke rumah.

Keistimewaan Zakaria laksa adalah dari segi bahan-bahan yang di masak sendiri termasuk laksa beras dan sambal kelapanya.


Kuah laksa yang diperbuat daripada isi ikan selayang itu semestinya menambat selera penggemar makanan ini ditambah pula dengan sambal kelapa sebagai bahan pemekat kuah tersebut.

Selain laksa, pulut sambal juga merupakan salah satu hidangan laris di kedai ini kerana kesedapan inti sambalnya yang manis pedas berjaya memikat hati pengunjung yang singgah di situ.


Hidangan lain yang terdapat di Zakaria Laksa termasuk laksam, satay, laici kang, ais kacang dan cendol.

Sehingga kini, Restoran Zakaria Teluk Kechai telah beroperasi bagi tiga generasi selama 55 tahun dan dinamakan bersempena nama datuk kepada pemilik kedai berkenaan, Zailuddin Zakaria.

Difahamkan bahawa Zakaria Teluk Kechai dibuka pada setiap hari, kecuali Jumaat. - Kedahnews.com