SEBELUM ini, memang ada desas-desus menyatakan pelakon kontroversi Zarina Anjoulie telah berpisah dengan suaminya yang merupakan warga Brunei.
Pun begitu, tuan empunya badan tidak pernah membuat kenyataan rasmi mengenai hal tersebut.
Tidak mahu peminat terus berteka-teki, Zarina akhirnya mengakui telah bercerai dengan Pangiran Mohd Ilham Syazwan, 26, pada 18 Disember tahun lalu.
Bercerita kepada Harian Metro mengenai punca keruntuhan rumah tangganya, Zarina, 31, memberitahu antara mereka sudah tiada persafahaman dan masing-masing mengambil keputusan bercerai secara baik.
“Selepas mengenalinya selama empat bulan, bekas suami datang berjumpa saya dan kami buat keputusan untuk berkahwin.
“Bagaimanapun kebahagiaan hanya dikecapi selama setahun lima bulan saja dan selepas itu rumah tangga kami mula bergolak.
“Faktor penceraian saya disebabkan usia bekas suami yang terlalu muda ketika berkahwin. Selepas mendapat anak, keretakan rumah tangga kami sukar dibendung dan perceraian adalah jalan terbaik buat kami.
“Saya sebenarnya mengharapkan yang terbaik daripada perkahwinan ini tetapi apakan daya jodoh saya tak kekal lama,” katanya yang berkenalan dengan bekas suaminya menerusi Instagram pada November 2014.
Pasangan ini pernah mengejutkan media apabila berkahwin secara diam-diam pada 8 Februari 2015.
Selepas berkahwin, Zarina dilihat berhijrah mengenakan hijab dan mengambil keputusan menetap di Brunei.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan seorang anak lelaki bernama Awangku Gabriel Martin Ezra yang kini berusia enam bulan yang dijaga oleh Zarina.
Sementara itu, Zarina akui tidak serik untuk berkahwin sekali lagi memadangkan dia memerlukan lelaki untuk berkasih.
“Saya sukakan institusi perkahwinan kerana dapat mengelakkan kita dari melakukan dosa. Saya kasihankan anak saya yang membesar tanpa bapa di sisinya.
“Sebagai wanita yang pernah berkahwin, tentunya saya perlukan kehadiran seorang lelaki bergelar suami untuk berkongsi hidup,” katanya.
Zarina kini menguruskan perniagaan produk penjagaan kesihatan jenamanya sendiri.
Zarina mencipta nama di persada seni menerusi lakonannya dalam drama Anak Pontianak suatu ketika dahulu. – Kedahnews.com