10 Tahun Kayuh Basikal, Akhirnya Dapat Sumbangan Motosikal


KULIM - Hampir 10 tahun menjadikan basikal sebagai kenderaan rasmi mereka sekeluarga untuk ke mana-mana, kini Che Zamri Mat, 49, bersyukur apabila menerima sumbangan motosikal terpakai.

Che Zamri berkata, walaupun dia sering menyimpan hasrat untuk membeli motosikal, namun terpaksa dilupakan apabila memikirkan kos untuk menyara anak tunggalnya bersekolah.

“Memang ada hasrat nak beli motosikal, tapi bila kira duit gaji, saya tak mampu. Terpaksalah kuburkan saja hasrat tu.

“Saya lebih pentingkan kelengkapan sekolah anak, biarlah saya kayuh basikal lima kilometer setiap hari untuk hantar dan ambil dia di sekolah,” katanya.

Che Zamri juga tidak menafikan dia sering diejek masyarakat kerana tidak memiliki kenderaan lain.

“Memang ada yang ejek, kata kat saya macam-macam antaranya tak kan saya tak mampu beli motosikal? Kasihan anak... tapi saya buat tak tahu saja.

“Saya yang terpaksa tanggung, mereka hanya tahu mengata, tapi ramai juga menyatakan simpati dan juga bantu sekadar yang boleh. Itu pun saya dah cukup bersyukur,” katanya.

Tambah Che Zamri, dia juga bersyukur kerana kesihatan mereka tiga beranak sentiasa baik dan anaknya seolah-olah faham dengan keadaan hidupnya sekarang.

“Alhamdulillah, anak saya tak pernah mengeluh terpaksa naik basikal untuk ke mana-mana saja terutama ke sekolah. Tak pula dia minta saya beli motosikal.

“Semangatnya untuk ke sekolah juga sangat tinggi, tak kira hujan atau panas, kalau hari sekolah dia tetap mahu ke sana,” katanya.

Che Zamri berkata, dengan adanya motosikal itu akan lebih memudahkan mereka untuk bergerak ke mana sahaja.

“Terima kasih kepada yang memberi. Saya bersyukur dengan adanya motosikal ini yang memudahkan kami sekeluarga ke mana saja. Saya akan berusaha untuk ubah nasib keluarga dan memastikan agar anak berjaya,” katanya.

Sementara itu, penderma yang juga pekerja kilang, Che Rosle Aman, 51, berkata, selepas membaca kisah Che Zamri yang tular menerusi WhatsApp, dia begitu terkesan dan mengambil keputusan untuk memberi motosikal miliknya.

“Saya pun tak lah berada sangat, tapi di rumah ada juga dua tiga motosikal yang tak digunakan sangat, tapi masih elok.

“Niat saya dah lama nak sedekahkan motosikal ini kepada orang yang memerlukan, namun masih tak jumpa sehinggalah saya terbaca mesej tersebut,” katanya.

Menurutnya lagi, dia berharap dengan bantuan itu dapat membantu Che Zamri sekeluarga bergerak dengan mudah, terutama menghantar anak ke sekolah serta tempat kerja.

“Alhamdulillah, saya bersyukur dapat sedekahkan motosikal ini kepada orang yang betul-betul memerlukan. Semoga dengan bantuan ini dapat bantu memudahkan pergerakan mereka sekeluarga,” katanya.

Selain itu, Naib Yang Dipertua Pas Kulim-Bandar Baharu, Khairi Salleh berkata, pihaknya sedang berusaha untuk mengumpul dana bagi membina sebuah rumah buat keluarga tersebut.

“Kita masih mengumpul dana daripada orang ramai untuk membantu keluarga ini membina rumah mereka sendiri,” katanya.

Sumber: Sinar Harian