100 kampit benih padi tidak sah dirampas dari sebuah lori di Jalan Sanglang, Kodiang, Sabtu lalu |
KUBANG PASU - Sebuah kilang pengeluar benih padi di sini diserbu pegawai penguat kuasa Kawal selia Padi dan Beras, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani pada Sabtu lalu kerana dipercayai menjual benih padi tidak sah.
Timbalan Pengarah Kawal selia Padi dan Beras Kementerian Pertanian Dan Industri Asas Tani, Negeri Kedah, Mohd Hidzir Selamat berkata, kira-kira jam 4.30 petang sepasukan pegawai penguat kuasa merampas sebanyak 100 kampit benih padi seberat 1,980 kilogram yang disyaki tidak sah dari sebuah lori di Jalan Sanglang, Kodiang.
“Hasil pemantauan dan siasatan yang dijalankan mendapati bekalan benih padi tersebut diperoleh dari sebuah kilang beras yang beroperasi di kawasan ini.
“Pemeriksaan lanjut di kilang beras tersebut mendapati pemilik kilang tersebut tidak memiliki lesen membeli padi bagi tujuan dibuat biji benih,” katanya.
Katanya, pihaknya telah mengambil tindakan terhadap pengilang beras tersebut dan dokumen-dokumen berkaitan penjualan padi turut dirampas untuk siasatan lanjut.
"Kes ini disiasat di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Padi dan Beras (Pelesenan Pembeli Padi) 1996.
"Kementerian memandang serius isu ini dan akan mengambil tindakan tegas ke atas pengeluar kerana ia akan merugikan para petani dari segi penghasilan padi yang tidak berkualiti dan akan menjejaskan pendapatan mereka,” katanya.
Sumber: Sinar Harian