12 Motosikal Di Flat Padang Tembak Musnah Dipercayai Dibakar


GEORGE TOWN – Sebanyak 12 buah motosikal hangus manakala dua buah lagi hampir musnah dalam kebakaran di tempat meletak kenderaan di Flat Padang Tembak, Air Itam di sini awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Mior Faridalathrash Wahid berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan berlaku kebakaran motosikal milik penduduk di Blok B, flat berkenaan kira-kira 1.30 pagi.

“Pasukan bomba dari Paya Terubung dan polis telah ke tempat kejadian dan mendapati sebahagian motosikal yang ditempatkan di situ telah terbakar. Kebakaran itu berjaya dikawal daripada terus merebak.

“Siasatan mendapati kebakaran itu menyebabkan 12 buah motosikal telah hangus terbakar manakala dua lagi separuh terbakar, nilai kerugian dianggarkan kira-kira RM25,000,” katanya di sini semalam.

Mior Faridalathrash berkata siasatan awal pihak forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Pulau Pinang mendapati terdapat kesan petrol di atas tempat duduk motosikal yang terbakar dan dipercayai kejadian itu adalah perbuatan khianat.

Katanya menurut saksi yang juga pemilik motosikal yang terbakar dalam kejadian itu memaklumkan insiden itu kali pertama berlaku semenjak mangsa tinggal di kawasan tersebut hampir tujuh tahun lepas.

“Semakan kamera litar tertutup (CCTV) mendapati terdapat dua lelaki berkelakuan mencurigakan di kawasan tempat kejadian sebelum berlaku kebakaran di situ,” katanya.

Beliau berkata polis sedang mengenal pasti dua lelaki yang dipercayai terlibat dalam kejadian itu dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung insiden berkenaan boleh menghubungi mana-mana balai polis untuk membantu siasatan.

Katanya siasatan lanjut masih dijalankan dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, seorang daripada pemilik motosikal yang musnah dalam kebakaran berkenaan dan mahu dikenali sebagai Razak, 40, berkata semasa kejadian beliau baru sahaja hendak tidur selepas pulang bekerja dari sebuah kilang di Bayan Lepas.

“Rumah saya di tingkat dua dan sebaik dengar bunyi bising memaklumkan berlaku kebakaran di kawasan tempat letak motosikal, saya terus turun untuk melihat apa yang terjadi.

“Masa itu api sedang marak dan motosikal saya juga telah terbakar. Beberapa penduduk cuba membantu memadamkan kebakaran dan mengalihkan motosikal yang belum terbakar,” katanya.

Katanya beliau kerugian kira-kira RM4,000 selepas motosikal jenis Honda EX5 yang baru dibeli awal tahun itu musnah dalam insiden berkenaan dan berharap pihak yang melakukan kejadian berkenaan ditahan polis. – BERNAMA