1,450 Keluarga Terima Manfaat Skim "Rent-To-Own"


KUALA LUMPUR – Sejumlah 1,450 keluarga telah menerima manfaat daripada pelaksanaan skim ‘Rent-To-Own’ (RTO) atau Sewa Untuk Dimiliki di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR), persidangan Dewan Negara diberitahu semalam.

Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata skim tersebut merupakan usaha kerajaan bagi membantu golongan berpendapatan rendah khusus mereka yang gagal mendapatkan pembiayaan daripada institusi kewangan.

“Kita ada ramai pemohon yang layak memohon unit PPR dari segi syarat kementerian tetapi tidak layak untuk mendapatkan pinjaman dari bank walaupun harga rumah hanya pada kadar RM35,000 kerana mereka adalah ‘unbankable’ kerana antaranya tiada pendapatan tetap.

“Oleh itu kementerian mencadangkan agar golongan ini dibantu. Pelaksanaan RTO membolehkan mereka menghuni tanpa perlu bayar deposit hanya buat bayaran bulanan dan akhirnya dalam tempoh tertentu rumah itu akan menjadi milik mereka,” katanya ketika sesi pertanyaan lisan.

Beliau menjawab soalan Senator Megat Zulkarnain Omardin yang meminta kementerian menyatakan sejauh mana keberkesanan program RTO dalam merealisasikan hasrat kementerian itu membantu individu yang gagal mendapat pembiayaan bank bagi memiliki rumah sendiri.

Halimah berkata pada masa ini, skim RTO yang dilaksanakan adalah di PPR Gua Musang sebanyak 1,000 unit; PPR Taman Dana di Ulu Bernam sebanyak 300 unit dan PPR Ladang Siliau di Negeri Sembilan sebanyak 150 unit.

Skim berkenaan layak dipertimbangkan bagi penghuni PPR yang berjaya dalam tempoh dua tahun percubaan yang mana mereka tidak melanggar mana-mana syarat perjanjian dan mempunyai rekod bersih dari segi pembayaran sewa bulanan. – BERNAMA