2 Syarikat Diperintah Bayar Pampasan Hak Cipta Doraemon


NANJING – Dua syarikat di timur China diperintahkan membayar 130,000 yuan (RM82,000) sebagai pampasan kerana pelanggaran hak cipta terhadap watak popular kartun Jepun Doraemon.

Agensi berita rasmi China, Xinhua melaporkan, kes bermula apabila sebuah syarikat berpangkalan di Shanghai yang memegang hak cipta di China, menyaman syarikat beroperasi di bandar Zhenjiang, wilayah Jiangsu.

Ini kerana ia jelas menggunakan imej Doraemon tanpa kebenaran. Pampasan yang diminta ialah sebanyak 550,000 yuan (RM347,000), menurut satu kenyataan dari Mahkamah Intermediate Rakyat Bandar Zhenjiang.

Menurut peguam syarikat di Shanghai itu, dua firma kemudian didapati memaparkan model Doraemon di dataran awam berhampiran pusat perniagaan pada Januari 2016 disifatkan “boleh menjana manfaat komersial besar”.

Bagaimanapun, menurut pihak defendan tindakan mereka “hanya untuk menaikkan semangat pada waktu bercuti” dan tiada sebarang pelanggaran hak.

Kedua-dua syarikat itu juga telah memadamkan paparan sebelum sesi mahkamah bermula.

Doraemon sebuah rancangan kartun diminati kanak-kanak dan antara watak kartun yang paling popular di China. – BERNAMA