3 Anak Malaysia Bakal Tawan Titik Kosong Darjah Kutub Utara


SEPANG – Tiga anggota Kelab Eksplorasi 7 Benua Malaysia (KE7B) semalam berlepas ke Longyearbyen, Svalbard, Norway sebelum ke Kutub Utara bagi menjayakan ekspedisi meluncur di atas ais sejauh 111 kilometer.

Ekspedisi KE7B Kutub Utara 2017 disertai ikon sukan lasak negara, Muhammad Muqharbbin Mokhtarrudin, 35; atlet dualthlon dan triathlon negara, Shahrom Abdullah, 38; dan Muhammad Irwan Yusoff Abdullah, 37.


Kumpulan itu akan menjelajah “Last Degree Ski” sejauh 111 kilometer di bawah cuaca yang sejuk ekstrem dengan suhu boleh mencecah negatif 50 darjah celsius selama 11 hari.

Mereka akan memulakan misi pada 12 April ini dan bakal mencatat sejarah sebagai rakyat Malaysia terawal menakluk Kutub Utara.

Penasihat KE7B Malaysia, Datuk Akmar Hisham Mokhles berkata kumpulan itu akan memulakan penjelajahan dari Stesen Barneo ke Titik Kosong Darjah Kutub Utara.


Akmar yang juga Setiausaha Akhbar kepada perdana menteri berkata kumpulan itu akan berpangkalan di Longyearbyen, Svalbard selama enam hari untuk menjalani proses penyesuaian diri serta persiapan akhir kelengkapan.

“Saya yakin ketiga-tiga mereka akan berjaya dalam ekspedisi ini kerana mereka telah melakukan persiapan yang rapi.

“Kami berharap cuaca yang baik dan tidak berlaku ribut agar ekspedisi ini boleh tamat dalam tempoh yang ditetapkan,” katanya kepada pemberita sebelum berlepas ke Longyearbyen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, semalam.

Sementara itu, Persiden KE7B, Muhammad Muqharbbin berkata mereka telah menjalani beberapa siri latihan fizikal di Jepun, Amerika Syarikat dan sekitar Malaysia.

Selain itu, beliau berkata mereka akan berski sambil menarik kereta luncur salji sepanjang ekspedisi itu yang mengandungi barang-barang keperluan seperti peralatan khemah, bekalan makanan dan pelbagai peralatan yang dianggarkan seberat 50 kilogram.

“Kami sudah bersedia dan kami yakin dapat melaksanakan misi ini dalam tempoh masa yang ditetapkan,” katanya.

Ekspedisi ke Kutub Utara itu menjadi ekspedisi keenam KE7B selepas Ekspedisi KE7B 7 Puncak 7 Benua 2010, Ekspedisi KE7B Renangan Perpaduan Selat Inggeris 2012, Ekspedisi KE7B Felda Everest 2013, Ekspedisi Jelajah KE7B Felda Greenland dengan ski 2014 dan Ekspedisi Jelajah KE7B Kutub Selatan 2015-2016. – BERNAMA