3 Beradik Mangsa Kemalangan Di Baling Stabil, Masih Dirawat


SUNGAI PETANI – Keadaan tiga beradik perempuan mangsa kemalangan di Kampung Teluk Teduri, Jalan Kupang-Baling pagi kelmarin, dilaporkan stabil namun masih menjalani rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini.

Pengarah Kesihatan Negeri Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail berkata, dua daripadanya, berusia 10 dan lima tahun, telah selamat menjalani pembedahan hari ini dan berada dalam keadaan stabil.

“Kanak-kanak berusia 10 tahun, yang patah tulang kaki antara lutut dan pergelangan kaki kiri, menjalani pembedahan pada pukul 2.30 petang tadi manakala adiknya, yang patah tulang antara peha dan lutut kiri, menjalani pembedahan pada pukul 8.50 pagi tadi (semalam).

“Seorang lagi anak itu berusia sembilan tahun, yang patah tulang tangan kanan dan pergelangan tangan kanan, diberi rawatan di wad tanpa pembedahan,” katanya menerusi satu kenyataan media semalam.

Norhizan berkata, ketiga-tiga kanak-kanak itu diletak di bawah pemantauan dan penjagaan Pakar Psikiatrik dalam usaha memberi First Aid Psychological Counselling bagi memastikan aspek psikologi mereka berada dalam keadaan stabil.

“Mereka juga dipantau Pakar Kanak-Kanak dan pegawai dari Jabatan Kebajikan Masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan Negeri Kedah, Datuk Azuyah Hassan, semalam melawat ketiga-tiga mangsa di HSAH.

Azuyah yang tiba di HSAH kira-kira pukul 5.50 petang semalam, turut diiringi beberapa pegawai daripada Pejabat Pendidikan Negeri.

Azuyah ketika ditemui Bernama selepas lawatan, mengesahkan bahawa semua kanak-kanak itu berada dalam keadaan stabil dan ada ahli keluarga terdekat yang menemani mangsa.

Beliau menerusi satu kenyataan media kemudiannya memaklumkan bahawa JPN Kedah dan PPD Baling/Sik, telah membantu keluarga tersebut dari segi kewangan yang disumbangkan pelbagai pihak.

“JPN akan menguruskan tuntutan insuran takaful bagi tiga murid yang dimasukkan ke hospital.

“JPN dan PPD juga akan membantu segala urusan persekolahan murid tersebut setelah mengadakan perbincangan dengan waris kepada murid-murid berkenaan,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.15 pagi kelmarin, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling dan isterinya, maut manakala empat anak pasangan itu cedera, selepas kenderaan mereka dirempuh sebuah kereta pacuan empat roda dari arah belakang.

Ketika kejadian, mangsa, ASP Mohd Noor Mat Yaub, 38, dan isteri, Suriya Abdul Rahman, 37, yang juga seorang guru di SK Teluk Teduri, bersama empat anak mereka, dikatakan dalam perjalanan ke sekolah. – BERNAMA