3 Remaja Ditahan Terlibat Aktiviti Basikal Lajak


JOHOR BAHRU – Polis menahan tiga remaja lelaki kerana terlibat dalam aktiviti basikal lajak atau yang diubah suai di Taman Ungku Tun Aminah, Skudai, di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, ACP Mohd Taib Ahmad berkata ketiga-tiga remaja berusia 14 tahun itu ditahan ketika sedang berbasikal pada pukul 12 tengah hari oleh anggota polis yang melakukan rondaan di Jalan Hang Jebat 1, perumahan berkenaan.

“Polis kemudian menyita basikal mereka mengikut Seksyen 112 (3) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan mengeluarkan saman di bawah Peraturan 42 (1) LN 166/59 Kaedah-Kaedah Lalulintas 1959 kerana mengubah suai basikal,” katanya menerusi kenyataan di sini semalam.

Mohd Taib berkata polis turut memberikan nasihat kepada ibu bapa dan penjaga semua remaja yang berasal dari Skudai itu untuk memantau pergerakan anak-anak mereka.

Beliau berkata pihaknya kesal dengan remaja yang masih berdegil untuk terlibat dalam aktiviti basikal lajak itu.

Sehubungan itu, pihaknya meminta orang ramai untuk menyalurkan maklumat kepada polis sekiranya mendapati aktiviti tersebut berlaku di kawasan masing-masing demi keselamatan semua pihak.

“Pada ketika ini Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara mengadakan operasi khas serta pemantauan terhadap aktiviti basikal yang diubah suai bagi memastikan perkara ini dapat dibendung,” katanya. – BERNAMA