3 Wira Bakal Lakar Sejarah, Hampiri Titik 90 Darjah Kutub Utara


TIGA penjelajah ikon sukan lasak negara bakal melakar sejarah apabila dijangka menjejakkan kaki ke titik 90 darjah Utara iaitu teratas Kutub Utara sebelum tengah hari waktu Malaysia.

Mereka diketuai Muhammad Muqharabbin Mokhtarrudin, 35, serta atlet dualthlon dan triathlon negara, Shahrom Abdullah, 38; dan Muhammad Irwan Yusoff Abdullah, 37; dilaporkan tiba lebih awal daripada jadual dirancang.

Memetik kenyataan yang dimuat naik menerusi Facebook Setiausaha Akbar Perdana Menteri, Datuk Akmar Hisham Mokhles, pukul 3 pagi tadi waktu Malaysia, memaklumkan perjalanan mereka berbaki 10 kilometer sahaja lagi.

Ia disahkan sendiri oleh Muhammad Muqharabbin atau dikenali saudara Qobin. Ujarnya, jika tiada halangan, Insya Allah sebelum tengah hari Khamis, mereka selamat sampai tepat ke pusat titik Kutub Utara.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut mendoakan kejayaan tiga penjelajah Malaysia tersebut menerusi catatan dalam laman Facebook rasmi beliau semalam dengan berkata:

“Alhamdulillah, saya dimaklumkan bahawa tiga penjelajah kita dijangka mampu tiba ke titik 90 darjah Kutub Utara lima hari lebih awal daripada jadual jika cuaca mengizinkan.

“Insya-Allah, sama-sama kita doakan mereka selamat dan berjaya menyempurnakan misi untuk membawa nama #Negaraku Malaysia!”

Ekspedisi Tawan Kutub Utara Hampir Ke Penamat

Titik 90 darjah Kutub Utara terletak pada latitud 90 darjah Utara sekali gus semua garisan longitud bertemu pada titik berkenaan dan pada kedudukan tersebut juga, setiap arah seseorang itu menghadap adalah selatan.

Qobin, Shahrom dan Muhammad Irwan merupakan anggota Kelab Eksplorasi 7 Benua Malaysia (KE7B) melakukan “Last Degree Ski” sejauh 111 kilometer bakal catat sejarah sebagai rakyat Malaysia terawal menakluk Kutub Utara.

Mereka berlepas ke Oslo, Norway pada 4 April lepas sebelum berpangkalan di Longyearbyen, iaitu terletak di Pulau Svalbard, Norway kira-kira 2,046 kilomter dari ibu kota Norway itu selama seminggu.

Mereka kemudiannya memulakan misi penjelajahan dari Stesen Barneo di Kutub Utara ke Titik 90 Darjah itu. Sepanjang ekspedisi, mereka akan berski sambil menarik kereta luncur salji yang mengandungi barang keperluan.

Ini termasuk peralatan khemah, bekalan makanan dan pelbagai peralatan yang dianggarkan seberat 50 kilogram.

Ekspedisi ke Kutub Utara itu merupakan ekspedisi keenam KE7B selepas Ekspedisi KE7B Puncak 7 Benua 2010, Ekspedisi KE7B Renangan Perpaduan Selat Inggeris 2012, Ekspedisi KE7B Felda Everest 2013, Ekspedisi Jelajah KE7B Felda Greenland dengan ski 2014 dan Ekspedisi Jelajah KE7B Kutub Selatan 2015-2016. - Kedahnews.com