31 Pengunjung Pusat Hiburan Di P. Pinang Ditahan Positif Dadah


GEORGE TOWN – Seramai 31 pengunjung pusat hiburan yang sedang khayal dan leka menari di sebuah pusat hiburan di sini ditahan selepas didapati positif dadah dalam Operasi Khas Pusat Hiburan, awal pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Timur Laut SAC Mior Faridalathrash Wahid berkata ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati kesemua mereka yang berusia antara 18 dan 46 tahun itu positif dadah jenis morphine, amphetamine, methamphetamine dan ketamin.

Beliau berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada 19 lelaki dan 12 wanita termasuk empat perempuan warga asing iaitu masing-masing dua Indonesia serta Thailand.

“Ketika serbuan pada 4 pagi itu, hasil ujian air kencing mendapati 31 pengunjung pusat tersebut positif dadah termasuk seorang lelaki yang juga kakitangan kerajaan.

“Lelaki itu merupakan pembantu tadbir di sebuah agensi kerajaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Bayan Lepas,” katanya di sini semalam.

Mior Faridalatrash berkata dalam operasi itu, polis turut merampas sejumlah dadah jenis ketamin, ganja dan pil ecstasy dan kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Beliau memberi amaran kepada pengusaha pusat hiburan agar tidak menjadikan premis mereka sarang penyalahgunaan dadah dan polis akan terus menjalankan operasi di premis yang didapati wujud kegiatan penyalahgunaan dadah.

“Kami menyeru masyarakat setempat supaya dapat menjadi mata dan telinga polis dengan menyalurkan sebarang maklumat sekiranya terdapat penglibatan penagihan, pengedaran dadah dan jenayah di kawasan mereka,” katanya. – BERNAMA