402 Sekolah Dikenal Pasti "Hotspot" Salah Laku Disiplin


KUALA LUMPUR – Sebanyak 402 buah sekolah rendah dan menengah di seluruh negara dikenal pasti sebagai sekolah ‘hotspot’ melibatkan kes salah laku dan disiplin, kata Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr Khair Mohamad Yusof.

Beliau berkata sekolah itu didapati mencatat kadar salah laku dan masalah disiplin murid yang agak tinggi berdasarkan maklumat yang terdapat dalam Sistem Salah Laku Disiplin Murid (SSDM) Kementerian Pendidikan (KPM).

Katanya lokasi sekolah yang terletak di dalam kawasan berisiko jenayah adalah antara faktor yang meletakkan sekolah berkenaan di dalam kategori hotspot.

“Namun jumlah sekolah yang terlibat dalam hotspot ini pada dasarnya adalah terkawal dan pihak sekolah dapat mengawal murid dan sekolah mereka.

“Secara keseluruhannya, jumlah murid yang terlibat dalam kes disiplin dan dianggap tegar adalah dalam lingkungan 10 hingga15 orang sahaja bagi sesebuah sekolah. Mereka ini akan dirujuk kepada guru kaunseling dan guru disiplin bagi proses intervensi dan pemulihan,” katanya kepada Bernama.

Difahamkan Selangor mencatat bilangan sekolah hotspot tertinggi iaitu sebanyak 76 buah sekolah, diikuti Johor (63), Negeri Sembilan (40), Pahang (37) dan Pulau Pinang (37).

Khair berkata ketegasan pihak sekolah dalam mencatat salah laku murid telah membolehkan pihak KPM membantu sekolah dalam menangani salah laku murid dengan melibatkan sekolah-sekolah tersebut dalam program KPM di peringkat nasional.

Menurutnya melalui program Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS), KPM dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia telah memperkenalkan Program Remaja Berwawasan (PRB) pada tahun 2013.

Program itu katanya adalah sebuah program yang memberi fokus kepada murid-murid yang mempunyai masalah disiplin untuk dibangunkan sahsiah dan jati diri mereka.

“Pada masa yang sama KPM juga berkerjasama dengan badan bukan kerajaan yang lain seperti Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), dan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) untuk menangani masalah disiplin di sekolah-sekolah terpilih,” tambahnya.

Dalam pada itu beliau turut menggalakkan ibu bapa untuk melibatkan diri dalam Program Pembangunan Sahsiah Diri Murid di sekolah melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di samping memberi bimbingan kepada anak-anak ketika berada di rumah. – BERNAMA