5 Lelaki Termasuk 3 Pelajar Ditahan Pecah Masuk Rumah


JOHOR BAHRU – Lima lelaki termasuk tiga pelajar sekolah ditahan selepas dipercayai memecah masuk sebuah rumah di Perumahan Rakyat Prima, Gelang Patah, di sini, Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri Supt Noor Hashim Mohamad berkata dua daripada mereka ditahan oleh mangsa manakala tiga yang lain ditahan polis susulan daripada itu.

“Terdahulu, Pusat Kawalan Daerah Iskandar Puteri telah menerima panggilan telefon daripada mangsa iaitu seorang wanita berumur 30 tahun pada kira-kira 9.18 malam, 2 April lepas yang memaklumkan rumahnya dimasuki pencuri.

“Wanita terbabit yang merupakan seorang eksekutif mendapati pintu gril rumahnya terbuka, kunci mangga berada di atas lantai manakala pintu utama dalam keadaan tertutup dan tidak berkunci ketika dia pulang ke rumah itu, pada 9 malam, hari yang sama,” katanya menerusi kenyataan di sini semalam.

Beliau berkata wanita terbabit kemudian terus ke bahagian dapur dan mendapati terdapat dua budak lelaki lalu memanggil suaminya sekali gus menahan kedua-dua mereka.

Noor Hashim berkata susulan daripada penahanan kedua-dua suspek dan bertindak atas laporan mangsa, polis kemudian menjalankan siasatan di sekitar perumahan tersebut dan berjaya menahan tiga lagi lelaki lain, kira-kira 10.15 malam, hari sama.

Katanya, polis turut merampas barang kes daripada mereka iaitu satu beg kecil dan wang tunai RM600.

Menurut Noor Hashim, hasil siasatan awal, kelima-lima mereka yang berumur 14 hingga 18 tahun itu mengaku terlibat dalam kes pecah rumah berkenaan.

Saringan air kencing mendapati mereka negatif dadah dan kesemuanya yang tidak mempunyai sebarang rekod jenayah kini disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan, katanya. – BERNAMA