Abdul Hadi Ajak Umat Islam Maafkan Nanyang, Harap Tak Ulang


KUALA LUMPUR – Akhbar Nanyang Siang Pau menyiarkan karikatur bagi menghina Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 (RUU 355) kerana kejahilan penerbit akhbar itu memahami batasan sensitiviti agama di negara ini.

Justeru itu Presiden PAS, Datuk Abdul Hadi Awang, yang digambarkan sebagai monyet memakai kopiah dalam karikatur itu menyeru umat Islam terutama penyokong PAS supaya memaafkan akhbar itu dengan harapan ia tidak berulang.

“Meletakkan agama sebagai satu urusan kehidupan yang terlalu mulia adalah kadangkala sukar dibezakan oleh kalangan tertentu.

“Saya dengan ini mengajak umat Islam yang terguris dengan penerbitan karikatur berkenaan agar dapat bersama saya untuk memaafkan pihak akhbar berkenaan dengan harapan agar ianya tidak berulang lagi di masa depan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Akhbar Nanyang Siang Pau sebelum ini menyiarkan karikatur berunsur penghinaan terhadap Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Abdul Hadi dengan mengambarkan mereka sebagai monyet.

Akhbar tersebut bertindak demikian gara-gara tidak berpuas hati dengan pembentangan RUU 355 di Parlimen yang bertujuan memperkasakan fungsi Mahkamah Syariah di Malaysia.

Pembentangan rang undang-undang itu mendapat bantahan hebat pemimpin parti sekular DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (PAN) yang membarisi Pakatan Harapan. -Kedahnews.com