Ada Sanggup Tidur Di Masjid, Terminal Bas Demi Ayda Jebat


PELAKON dan penyanyi, Ayda Jebat tidak akan menggunakan peminatnya demi kepentingan diri sendiri ketika diminta mengulas tentang hubungan peminat dengan artis sempena Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH 3.0) yang akan mencapai kemuncaknya pada 14 Mei depan.

Menurut Ayda, 25, dia tidak pernah mengambil mudah hal yang membabitkan peminatnya dan dia juga tidak mahu membebankan mereka dengan perkara yang di luar kemampuan masing-masing.

“Ada juga pihak yang mahu menggunakan AJ Screamers (kelab peminat) untuk menganjurkan percutian dengan harga yang mencecah ribuan ringgit, termasuk bercuti di atas kapal.

“Walau bagaimanapun, saya masih belum mahu ke arah itu. Saya tak nak membebankan mereka kerana saya tahu ramai di antara peminat saya masih muda bukannya orang senang.

“Mereka ikhlas menyayangi saya sampaikan ada yang sanggup tidur di masjid dan terminal bas kerana mahu menyaksikan persembahan dan berjumpa dengan saya,” kata Ayda memetik laporan BH Online.

Tambahnya, dia lebih suka menjaga hubungan bersama peminat dengan balas komen di media sosial berbanding meninggalkan komen tidak sepatutnya sehingga menjadi isu yang memburukkan namanya. –Kedahnews.com