Ada Tali Barut Kuasa Asing Mahu Ubah Politik Malaysia - Abdul Hadi


KUALA LUMPUR – Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendedahkan terdapat pihak tertentu dalam negara menjadi tali barut kuasa asing untuk mengubah landskap politik negara ini supaya sejajar dengan ideologi barat.

Katanya, pihak tersebut adalah pihak yang sama membantah keras usaha memperkasakan peranan Mahkamah Syariah melalui pembentangan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 (RUU 355) di Parlimen baru-baru ini.

“Pihak yang tidak bersetuju dengan RUU355 PAS berunding dengan negara luar untuk mengubah politik Malaysia. Kita boleh berunding dengan UMNO untuk Islam, dia berunding dengan negara dan kedutaan asing.

“Kita berunding dengan UMNO saja, sama-sama Melayu Islam, Politik Malaysia biar orang Malaysia yang buat perubahan. Tak perlu jemput Amerika, negara asing mari. Berunding dengan negara asing untuk merubah politik Malaysia,” katanya dalam satu ceramah semalam seperti dilaporkan sebuah portal berita hari ini.

PAS baru-baru ini membentangkan RUU355 di Parlimen yang bertujuan meminda akta bagi memperkasakan fungsi Mahkamah Syariah termasuk meningkatkan kadar hukuman yang boleh dikenakan ke atas umat Islam yang berzina dan minum arak.

Perbahasan RUU355 yang sepatutnya diadakan selepas pembentangannya terpaksa ditangguhkan pada sesi akan datang oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat ekoran provokasi melampau Ahli Parlimen Pakatan Harapan dalam membantah RUU355.

Parti sekular DAP yang mengetuai Pakatan Harapan pernah mendakwa RUU355 merupakan strategi halus PAS untuk melaksanakan hukum Islam hudud yang zalim, kuno dan tidak bertamadun di negara ini.

Anggota parti Pakatan Harapan, PKR dan PAN pula mendakwa RUU355 tidak boleh dibenarkan kerana ia mengelirukan dan menimbulkan keresahan umat bukan Islam.

Perkembangan itu menyaksikan Pakatan Harapan dikecam sebilangan besar umat Islam negara ini menyebabkan bekas Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba-tiba membuat pusingan U beliau menyokong RUU355 untuk menyelamatkan partinya.

Abdul Hadi dalam pada itu mendedahkan bahawa DAP sebenarnya adalah “butir tahi” PAP Singapura kerana DAP pada asalnya adalah PAP sebelum Singapura keluar daripada Malaysia.

Kata beliau, PAS mendapat maklumat, ada “ejen asing” di belakang penentang RUU355 itu, khususnya kumpulan mubaligh yang ingin mengembangkan agama mereka di negara ini.

Anggota parlimen Marang itu juga mendakwa, penentang usul itu juga bimbang jika syariat Islam dilaksanakan, orang bukan Islam akan melihat kebaikan hukum Islam. -Kedahnews.com