GEORGE TOWN - UMNO dilihat mendapat sokongan daripada sekutunya dalam usaha membawa usul bagi menggesa Ketua Menteri Lim Guan Eng meletak jawatan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Mei ini.
Adun DAP Tanjung Bungah, Teh Yee Cheu berkata, cadangan itu adalah "perkara betul" yang perlu dilakukan dan menyatakan pendiriannya dari awal bahawa Guan Eng perlu berundur berikutan dakwaan rasuah terhadapnya.
"Sekurang-kurangnya beliau perlu bercuti sementara sehingga kes selesai," kata Yee Chew ketika diminta mengulas kenyataan usul yang dicadangkan oleh Ketua UMNO Negeri Datuk Seri Zainal Abidin Osman.
"Ketua Menteri telah didakwa atas tuduhan rasuah dan oleh itu beliau perlu berundur agar siasatan berjalan lancar," katanya.
Adun DAP Tanjung Bungah, Teh Yee Cheu |
Ini bukan kali pertama Yee Chew melangkaui pangkat ketika persidangan DUN.
Pada bulan November 2015, dia turut menyokong usul Adun UMNO Pulau Betong, Datuk Muhammad Farid Saad yang menggesa untuk mengadakan pendengaran awam bagi penambakan tanah dan penggantungan semua penambakan baru sehingga kajian impak lautan, alam sekitar dan sosial dijalankan.
Yee Chew kemudiannya meminta maaf kepada partinya kerana menyokong usul dari Barisan Nasional itu.
Pada persidangan Mei tahun lalu, dia membangkitkan usul untuk meminda perlembagaan negeri bagi menghadkan tempoh ketua menteri Pulau Pinang kepada dua penggal tetapi ditolak oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Law Choo Kiang.
Yew Chew berkata dia tidak akan membentangkan usul itu lagi memandangkan UMNO telah bercadang untuk berbuat demikian.
Sumber: mStar