Ahli Akademik Dedah Perangai Guan Eng Di Singapura?


KUALA LUMPUR – Seorang ahli akademik negara ini mendedahkan perbuatan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng memfitnah Malaysia sewaktu berkunjung ke Universiti Teknologi Nanyang, Singapura pada 10 Disember 2014.

Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (Mapan), Universiti Utara Malaysia, Dr. Kamarul Zaman Yusoff berkata, beliau mempunyai transkripsi lengkap ke atas rakaman dialog tertutup Guan Eng di Singapura tersebut.

“Beliau bersungguh-sungguh mempertikaikan keupayaan pemimpin kerajaan Malaysia menguruskan ekonomi serta memuji melangit keupayaan pemimpin PAP Singapura menguruskan ekonomi Singapura.

“Guan Eng ketika menjawab soalan seorang peserta turut mendakwa kerajaan Malaysia tidak pernah memberi walau satu sen kepada Pulau Pinang untuk membangunkan negeri itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kamarul Zaman berkata, Guan Eng turut memberitahu Singapura bahawa kerajaan Malaysia membayar setiap pengundi RM5,000 bagi mengalahkan beliau dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 pada 2013.

Beliau turut mendedahkan Guan Eng berkunjung ke Singapura waktu itu bagi mendapatkan persetujuan syarikat milik PAP yang sahamnya dimiliki Menteri Kewangan Singapura untuk membina Hi-Tech Park di Batu Kawan.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang baru-baru ini mendedahkan DAP sebenarnya adalah parti PAP Singapura kerana DAP pada asalnya adalah PAP sebelum Singapura keluar daripada Malaysia.

DAP bagaimanapun menegaskan PAS memfitnah parti itu kerana mendakwa DAP tiada kaitan dengan parti Singapura PAP. – Kedahnews.com