Ahli Desak PPBM Buang Budaya Kotor Pemimpin


KUALA LUMPUR - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) perlu bertindak bagi menyingkirkan segera budaya kotor yang dicedok daripada parti-parti tertentu bagi memastikan perjuangan berada di landasan tepat untuk menjadi parti alternatif kepada rakyat.

Ahli PPBM Johor, Datuk Ahmad Faizal Mohd Salim berkata, jika budaya kotor seperti ini ada dalam PPBM, ia sedikit sebanyak akan melunturkan kepercayaan akar umbi dan pengundi.

"Saya khuatir perjuangan PPBM semakin lari dari landasan kerana tindakan tidak bertanggungjawab oleh sesetengah pemimpin peringkat pertengahan.

"Pilihan raya umum semakin dekat. Jika masalah-masalah dalaman masih belum selesai, bagaimana mahu menang?

"Oleh sebab itu, saya memohon pemimpin tertinggi turun padang dan bertanya sendiri akar umbi, apakah masalah yang dihadapi," katanya.

Katanya, PPBM perlu berjuang dengan ikhlas demi bangsa Melayu, namun tindakan segelintir pemimpin ini membuatkan akar umbi lari seperti mana yang telah dilaporkan media sebelum ini.

Sumber: Sinar Harian