Ahok Tumbang, Anies Bakal Gabenor Baru Jakarta?


JAKARTA – Pasangan Anies Baswedan – Sandiaga Uno, dilaporkan bakal memenangi Pemilihan Umum Kepala Daerah (Pilkada) Daerah Khusus Ibu Kota Jakarta 2017, lapor media tempatan.

Menurut pengiraan pantas akhbar berpengaruh Indonesia KOMPAS, regu calon nombor tiga dalam paparan kertas undi itu kini selesa mendahului lawan mereka selepas 90 peratus sampel pengundian pusingan kedua itu dihitung.

Setakat jam 4 petang waktu Jakarta (5 petang waktu Malaysia) pasangan Anies – Sandiaga masih lagi di hadapan dengan jurang semakin besar apabila memperoleh sebanyak 57.9 peratus daripada 7.2 juta pengundi berdaftar.

Ini diikuti calon pilihan, Basuki Tjahaja Purnama – Djarot Saiful Hidayat yang hanya meraih 42.1 peratus undian. Seorang penganalisis Pilkada di KOMPAS, Ratna Sri Widyastuti  menyatakan, jumlah pengiraan undi itu stabil.

“Sudah mulai stabil dan angka tidak akan berbeda jauh,” katanya di Gedung KOMPAS di sini lewat Rabu. Analisis pengiraan pantas akhbar itu mengambil sampel rawak di 400 tempat pengundian dan melibatkan 227,954 pemilih.

Lazimnya hasil kiraan KOMPAS menjadi rujukan ramai kerana dianggap berwibawa dan hampir 100 peratus tepat sementara menunggu pengesahan rasmi Komisi Pemilihan Umum Indonesia (KPU) yang lewat diumumkan.

Jika angka itu konsisten, ini bermakna Basuki, 50, atau sering disapa sebagai Ahok bakal tumbang jawatan sebagai Gabenor selepas mengambil alih daripada Joko Widodo pada 2014 susulan dipilih menjadi Presiden Indonesia.

Ahok mencipta rekod sebagai bukan Islam pertama memegang jawatan itu dalam tempoh 50 tahun selepas kali terakhir Gabenor DKI Jakarta disandang penganut Katholik, Hendrik Hermanus Joel Ngantung pada 1964 lalu.

Namun ramai menyifatkan kekalahan etnik Cina itu ekoran kes kontroversi beliau sehingga didakwa di sebuah mahkamah kerana hina ayat al-Quran ketika berkempen menjelang Pilkada pusingan pertama pada 15 Februari lalu.

Ini menyaksikan trend pengundi majoritinya beragama Islam ‘beralih’ kepada lawannya, Anies, 47, yang lebih disenangi ramai kerana latar belakang sebagai cucu pejuang kemerdekaan Indonesia, Abdurrahman Baswedan.

Anies yang juga bekas menteri pendidikan dan kebudayaan dalam Kabinet Jokowi pada 2014; pernah melakar sejarah sebagai rektor termuda apabila menerajui Universiti Paramadina dalam usia 38 tahun pada 2007 lalu.

Pilkada Jakarta kali ini paling sengit apabila pusingan pertama sebelum ini menyaksikan Ahok – Djarot cuma meraih 42.9 peratus daripada 5.5 juta kertas undi disahkan KPU secara rasmi sekali gus memaksa pusingan kedua dibuat.

Menurut peraturan, calon memperoleh kurang 51 peratus sokongan terpaksa melalui pemilihan kedua dan peluang itu dimanfaatkan Anies untuk menang dinobatkan sebagai gabenor Jakarta ke-18. – Agensi