Aksi "Superman", Juruteknik Jalani 200 Jam Khidmat Masyarakat


KUALA LUMPUR – Gara-gara menunggang motosikal secara melulu sambil membuat aksi ‘Superman’, seorang juruteknik diperintah menjalani khidmat masyarakat selama 200 jam oleh Mahkamah Trafik di sini, semalam.

Majistret Maizatul Munirah Abdul Rahman menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Firdaruz Miskol, 20, selepas dia mengaku bersalah melakukan kesalahan itu di Leburaya Duta-Ulu Kelang (DUKE) di sini pada 4 pagi, 4 Mac lepas.

Muhammad Firdaruz juga diperintah membayar cagaran RM4,000 dan perlu menyelesaikan khidmat masyarakat selama dua tahun itu selain lesen memandunya dibatalkan dan tidak dibenarkan memohon lesen baharu selama dua tahun.

Dia didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntuk hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda tidak kurang RM5,000 serta hilang kelayakan menunggang atau mendapatkan lesen memandu selama dua tahun.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam, merayu kepada mahkamah supaya menjatuhkan hukuman denda minumum kerana dia tidak mampu membayar denda tinggi.

“Saya perlu bekerja bagi meringankan beban keluarga, saya juga membayar duit sewa rumah serta menjaga nenek,” katanya dengan nada sedih.

Timbalan Pendakwa Raya Siti Hajar Ashif memohon hukuman setimpal supaya tertuduh insaf dan memberi pengajaran kepadanya.

Berdasarkan fakta kes, remaja itu ditahan selepas pihak polis yang melakukan ‘Op Samseng Jalan Raya’ di Lebuhraya DUKE ternampak motosikal yang ditunggangnya secara melulu dan berbahaya sambil melakukan aksi ‘Superman’. – BERNAMA