KULIM - Seorang pekerja kilang berdepan detik cemas apabila kereta yang dipandunya terbakar akibat terlanggar seekor kerbau dekat sebuah stesen minyak di jalan Baling-Kulim Ekspres, pagi semalam.
Mangsa, Arnee Syahira Khushairi, 25, itu memandu kereta jenis Perodua Alza dipercayai baru habis waktu bekerja shif malam kira-kira jam7.30 pagi dan ingin pulang ke rumahnya di Pulau Pinang.
Menurutnya, ketika itu dia berada di lorong kanan dan memandu dalam kelajuan biasa sebelum secara tiba-tiba ternampak seekor kerbau keluar daripada pokok yang di tanam sepanjang pembahagi jalan ke atas jalan raya.
"Bila sampai dekat stesen petrol itu secara tiba-tiba saya nampak kerbau berada di atas jalan dipercayai keluar daripada pokok-pokok yang ditanam di kawasan pembahagi jalan.
"Saya memang menekan brek sekuat hati untuk elakkan pelanggaran namun kerana terlalu hampir kereta telah bertembung dengan haiwan itu," katanya.
Katanya, beg udara keselamatan juga telah terbuka sehingga menghalang pandangan di hadapan dan kerana terkejut dia menunggu di dalam kereta.
"Memang selepas kemalangan itu saya tak nampak keadaan di depan, dan kerana terkejut saya duduk di dalam kereta untuk bertenang.
"Nasib baik penunggang motosikal yang melalui laluan itu meminta saya keluar segera kerana bahagian bonet kereta di hadapan sudah mulai terbakar," katanya.
Tambahnya, dia berjaya keluar dari kenderaannya dengan selamat hanya terdapat sedikit luka di tangan.
"Saya berjaya keluar dari kereta dengan selamat dan berjaya selamatkan beg tangan, tapi paling sedih saya juga terpaksa melihat dan reda apabila kereta yang dibeli saya sejak empat tahun lalu hangus terbakar dijilat api sikit demi sedikit," katanya.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kulim, Deputi Superintendan Baruddin Wariso mengesahkan kejadian dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
Sumber: Sinar Harian