BERGELUMANG dengan darah dan hanyir nanah, ulat atau serangga yang menghurungi mayat reput waima ‘berkampung’ di satu lokasi jenayah berjam-jam lamanya, bukan satu tugas mudah.
Hanya mereka yang berani dan cekal sahaja sanggup memikul amanah berat tersebut.
Namun bagi Amidon Anan, beliau rela menggalas tanggungjawab berkenaan atas kesedaran bahawa mereka yang melakukan perbuatan jenayah kejam terutama melibatkan kematian, perlu diheret ke muka pengadilan dan dihukum seadil-adilnya.
Dilahirkan di Johor Bahru, Johor, Amidon, 66, sebenarnya bukanlah baharu dalam keluarga kepolisan.
Allahyarham bapanya, Anan Yeop Abdullah Sani sendiri merupakan bekas ketua polis daerah atau lazim masyarakat sebut sahaja sebagai OCPD di beberapa daerah.
Setelah tamat pengajian menengah di Sekolah Anderson, Ipoh, Perak, Amidon merantau ke ibu kota dan pada awalnya bekerja di kilang Lever Brother di Bangsar.
Selepas itu beliau memohon menyertai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan bertugas di situ hampir tiga tahun lamanya.
Pada tahun 1976, beliau diterima memasuki Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Setelah tamat latihan, saya ditempatkan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields sebagai pegawai penyiasat (I.O) sebelum dipindahkan ke Cawangan Jenayah Berat (D9) Kuala Lumpur.
“Di sana saya bertugas di bawah seliaan Tuan S. Kulasingam, pegawai polis yang terkenal dengan kehebatan dan keberaniannya itu.
“Saya nak tegaskan di sini, Tuan Kulasingam yang banyak membentuk dan melatih saya dalam memerangi jenayah khususnya jenayah berat seperti kes pembunuhan, rompakan, samun, rogol dan sebagainya.
“Dari Kuala Lumpur, saya bertukar ke Selangor juga dalam cawangan yang sama. Ketika itu Selangor berhadapan dengan statistik kes jenayah berat yang cukup tinggi.
“Sehingga memaksa kami memikirkan pelbagai strategi dalam usaha untuk memerangi penjenayah-penjenayah tegar ini,” kata Amidon yang juga pemegang Ijazah Sarjana (Master) dari UiTM ini.
CSI
Drama bersiri terkenal CSI mula bersiaran pada tahun 2000. Ia mengisahkan bagaimana sebuah pasukan siasatan tempat kejadian (CSI) polis Las Vegas menjalankan tugas mereka.
Secara kebetulan, tidak lama selepas itu ia mula ditayangkan di Malaysia dan menjadi antara siri TV yang paling diminati bukan saja di sini tetapi juga di seluruh dunia.
Mengambil inspirasi daripada rancangan TV tersebut, Amidon telah mencadangkan agar satu pasukan CSI juga ditubuhkan bagi menangani masalah jenayah di negeri Selangor yang sedang ‘menggila’ ketika itu.
Setelah menjalani latihan lanjutan di Maktab Polis Cheras dan Kuala Kubu Baru, Amidon diberi tanggunjawab untuk mengetuai pasukan CSI di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.
“Memang drama tersebut memberi inspirasi kepada saya cuma masalahnya PDRM ketika itu tidak memiliki peralatan canggih seperti mana di Amerika Syarikat (AS).
“Namun saya tetap cuba menyakinkan pegawai atasan saya untuk kita memiliki pasukan yang sama dan Selangor adalah negeri pertama ada pasukan CSI ini.
“Sejak pasukan CSI ini wujud di Selangor, kita mula nampak keberkesanannya dalam memberi bantuan kepada IO untuk menangkap penjenayah yang terlibat dalam satu-satu kes berat terutamanya melibatkan pembunuhan.
“Saya sendiri semakin yakin dalam menjalankan tugas kerana mula mendapat latihan daripada agensi penyiasatan terkenal dunia seperti FBI (Biro Siasatan Persekutuan AS) dan juga Scotland Yard di Britain,“ kata Amidon.
BADI, BAU DAN BERCAKAP DENGAN MAYAT
Menurut kepercayaan orang Melayu, badi merupakan satu malapetaka dan musibah yang berpunca dari binatang, tumbuhan dan mayat.
Dalam hal ini, Amidon berkata, sepanjang 30 tahun bergelumang dalam pasukan CSI, beliau tidak pernah mengalami kejadian yang aneh atau pelik seperti mana yang sering disangka.
Namun sebagai seorang Islam, Amidon berkata, adalah menjadi tanggungjawab beliau untuk menghormati mayat tidak kira latar belakang atau agama yang dianuti mangsa.
Ujarnya, setiap mayat yang diperiksanya waima dalam apa juga keadaan sama ada sempurna atau reput, tidak boleh dikeji atau dihina.
“Selalunya sebelum memulakan ‘kerja’, saya akan membaca kalimah Bismillah dan memegang tapak kaki mayat yang saya periksa. Jangan terkejut, saya juga pernah dikatakan ‘gila’ kerana bercakap dengan mayat.
“Sebenarnya saya ‘minta izin’ dan selalu bercakap pada mangsa atau si mati bahawa saya datang dengan niat untuk membela kematiannya dan akan berusaha untuk membawa si pembunuh untuk diadili…itu saja.
“Dan memang pun itu niat kami. Kami datang untuk mengumpul sebanyak mungkin bukti dari mayat dan juga dari lokasi pembunuhan agar IO dapat menjalankan tugasnya untuk memberkas suspek.
“Bercakap mengenai bau pula, memang saya akui, bau mayat manusia ini tak ramai yang boleh tahan apatah lagi bila tubuh si mati mula membengkak dan membusuk.
“Petua saya mudah saja, selalunya bila sampai di lokasi, saya hidu dan sedut dengan kuat bau itu… hanya sekali…dan InsyaAllah lepas itu tak akan ada masalah tersebut walaupun berjam-jam menjalankan kerja dengan mayat di sisi,” katanya sambal tersenyum.
Tambah Amidon, satu perkara lagi yang beliau amalkan adalah dengan menanggalkan pakaian dan mandi luar rumah setiap kali pulang dari menjalankan ‘tugasannya’.
Kata Amidon, sampai saja di depan kediamannya di Shah Alam, beliau akan mengambil tuala dan mandi terlebih sebelum masuk ke dalam rumah.
KES PEMBUNUHAN CANNY ONG, NURIN JAZLIN, SUZAILY MOKHTAR
Walaupun terlibat dalam siasatan banyak kes jenayah menggemparkan negara, ada beberapa kes rogol dan bunuh yang sinonim dengan lelaki yang juga pegawai penyiasat tragedi kondominium Highland Tower yang runtuh dulu.
Antara yang cukup diingati adalah kes bunuh dan rogol Canny Ong, adik Nurin Jazlin dan gadis bernama Suzaily Mokhtar.
Bila diminta mengimbau kenangan sewaktu beliau terlibat dalam kes-kes berkenaan, dahi Amidon berkerut. Nampak semacam ada kesedihan terpancar di raut wajahnya.
Amidon bagaimanapun tidak mengambil masa yang lama untuk berkongsi pengalamannya dengan penulis.
“Ketiga-tiga mangsa mati dalam keadaan tragis akibat kerakusan nafsu suspek mereka. Walaupun sebenarnya saya cukup marah dan kesal dengan apa berlaku, namun sebagai pegawai polis saya tidak boleh terbawa-bawa dengan emosi.
“Sebaliknya saya tetap tekun bersama-sama dengan anggota pasukan yang lain untuk mencari bukti agar tertuduh ditangkap dan diheret ke mahkamah.
“Dalam kes adik Nurin Jazlin, dia terlalu muda, baru lapan tahun tetapi terpaksa melalui semua ini. Begitu juga Canny dan arwah Suzaily yang berpendidikan tinggi dan mempunyai masa depan yang cerah jika masih hidup.
“Tetapi semuanya musnah di tangan pembunuh mereka yang mempunyai sikap kejam dan sangat tidak berperikemanusiaan.
“Ada di antara mereka ditikam dan dibakar, ada yang dirogol, dibunuh dan dicampakkan ke tepi jalan, ada yang kemaluannya disumbat dengan timun, ini semua perbuatan mereka yang bersifat kebinatangan.
“Saya melihat semua mayat mereka. Saya juga percaya ada di antara kes tersebut tak mungkin berlaku sekiranya saksi yang melihat kes berkenaan bertindak pantas dengan melaporkannya pada pihak polis.
“Namun benda dah berlaku, saya bersyukur kerana ada pelaku yang terlibat telah menjalani hukuman gantung kesan dari perbuatan mereka,” kata Amidon.
KEHIDUPAN SELEPAS BERSARA
Selepas bersara beberapa tahun lalu, Amidon kini berkhidmat sebagai pensyarah sambilan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Teknologi Mara (UITM). Disamping itu beliau dilantik sebagai konsultan kepada Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia dalam aspek melatih dan membentuk bagi penubuhan Unit Siasatan Forensik APMM bersama dengan UKM.
Namun beliau tetap merindui kariernya dahulu terutama anggota pasukan CSI beliau yang sudah beliau umpamakan sebagai ahli keluarganya sendiri.
Suka duka bertugas di lokasi kejadian yang mengambil masa lima hingga ke lapan jam untuk satu-satu kes, menjelajah pelusuk bandar dan desa untuk menjalankan tugasan penyiasatan dan pahit getir ketika berkhidmat sebagai pasukan CSI adalah memori yang tak mungkin dapat beliau lupakan sepanjang hayatnya.
“Dalam pasukan saya ada yang berperanan sebagai jurufoto, pencatit atau perekod, jurulakar dan yang mengurus serta melabel barang kes.
“Namun ada banyak situasi di mana mereka terpaksa membantu satu sama lain walaupun di luar skop tugasan. Ini menunjukkan semangat juang dan kerjasama tinggi di antara sesama mereka dalam menyiapkan tugasan yang diamanahkan,” katanya.
SALUTE BUAT TUAN AMIDON ANAN! - Syahril A. Kadir