Angkara Pisang Setandan Di Pendang, Buruh Dipenjara 14 Hari


ALOR SETAR ― Padah mencuri setandan pisang, seorang buruh dijatuhi hukuman penjara 14 hari oleh Mahkamah Majistret, di sini, kelmarin.

Tertuduh, Mohmad Firdaus Mohd Fauzi, 27, mengaku bersalah kerana mencuri pisang pada malam 26 Mac lalu di sebuah rumah di Pendang, dekat sini, lapor Harian Metro.

Majistret Noor Farah Hazwani Osman memerintahkan Mohmad Fidaus menjalani hukuman itu dari tarikh dia ditangkap.

Mengikut fakta kes, pengadu Muhamad Ashraf Shamsudin, 27, ketika sedang pulang ke rumah terserempak dengan tertuduh yang sedang memotong tandan pisang abu miliknya.

Pengadu bersembunyi berhampiran rumah sambil memerhatikan tertuduh sebelum meminta bantuan orang kampung untuk menangkap lelaki itu.

Tertuduh kemudiannya dibawa ke balai polis bersama-sama dengan setandan pisang yang cuba dicurinya.

Mohmad Firdaus didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 511 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang diwakili Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan memohon hukuman diringankan kerana sudah insaf selain menanggung ibu bapa dengan upah RM30 sehari menjadi buruh am. -Kedahnews.com