Anzalna Bosan Berlakon Watak Baik, Mahu Watak Jahat


SETAHUN lebih selepas berkahwin dan menikmati bulan madu, pelakon Anzalna Nasir akui rindu untuk kembali beraksi depan kamera.

Apatah lagi, suami tercinta pun merestui hasrat isterinya untuk kembali berlakon.

“Berat hati juga untuk berjauhan dengan suami tapi jika duduk goyang kaki di rumah pun bosan juga.

“Selagi masih belum ada anak, biarlah saya berlakon dulu. Saya sudah lama berehat dan ramai produser sudah bertanya bila saya mahu kembali ke lokasi penggambaran,” kata Anzalna dipetik dari Harian Metro.

Mengakui bahawa suaminya, Hanif Zaki, mampu menampung kehidupan mereka, namun Anzalna beruntung kerana suaminya memahami minatnya dalam dunia lakonan.

“Duit hasil lakonan selalunya saya gunakan untuk membeli-belah saja,” terang pelakon berusia 29 tahun itu lagi.

Bagaimanapun, kata Anzalna, wanita yang sudah berkahwin perlu memiliki harta dan karier sebagai jaminan masa depan.

“Mungkin saya sudah memiliki suami yang sempurna seperti Hanif tetapi kita tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa depan.

“Jika sesuatu berlaku dalam rumah tangga, kita sudah ada aset dan karier untuk teruskan kehidupan,” katanya.

Anzalna bakal beraksi dalam drama Tuscan Passion sebanyak 100 episod terbitan Global Station Sdn. Bhd. yang akan memulakan pengambaran tidak lama lagi.

Dalam drama ini, dia akan melakonkan watak antagonis dan bergandingan dengan pelakon hebat Nabila Huda.

“Saya sudah bosan melakonkan watak baik dan sebab itu memilih karakter antagonis untuk drama ini.

“Watak baik memenatkan berbanding watak antagonis. Saya juga sukar menolak tawaran Global Station kerana sudah tahu cara kerja mereka.

“Selain itu, watak antagonis tidak memerlukan saya berada di lokasi setiap hari. Jadi dapatlah saya meluangkan masa dengan suami di rumah,” katanya. –Kedahnews.com