KUALA LUMPUR – Individu yang memiliki akaun Maybank dinasihati agar lebih berwaspada terhadap kemunculan sindiket penipuan menggunakan taktik ‘Spoofing’.
Perkara tersebut disahkan oleh Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (Siber dan Siasatan Multimedia), Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Datuk Kamaruddin Md. Din.
Beliau berkata, pihak polis mengesan wujud rangkaian sindiket baharu yang menyamar sebagai pegawai bank khususnya Maybank untuk menipu orang awam.
Menurutnya, sindiket itu akan menghubungi telefon mangsa secara rambang sebelum memulakan perbualan dengan mendakwa nama mangsa digunakan individu tertentu untuk melakukan pinjaman peribadi.
“Ahli sindiket akan memperkenalkan diri konon sebagai pegawai bank tersebut sebelum meminta mangsa menyatakan nama penuh dan nombor MyKad untuk tujuan pengesahan.
“Suspek kemudian mendakwa ada individu yang menyamar dan membuat pinjaman peribadi dengan menggunakan identiti mangsa,” kata Kamarudin.
Mangsa kemudian akan panik dan suspek berpura-pura menasihati mereka untuk membuat aduan kepada Bank Negara Malaysia (BNM) atau Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Mereka seterusnya diberi nombor telefon yang sudah diubah menggunakan ‘platform voice over internet protocol’ (VOIP) untuk memperdayakan mangsa.
“Meskipun itu bukan nombor asal BNM atau PDRM, namun ia akan tertera nombor asal dua agensi kerajaan pada telefon pintar mangsa menggunakan peralatan VOIP,” katanya.
Kamaruddin berkata, sebaik mangsa menghubungi nombor itu, seorang lagi ahli sindiket yang menyamar sebagai pegawai BNM atau PDRM akan menjawab panggilan itu.
Beliau berkata, ‘pegawai’ palsu itu pula akan meminta maklumat perbankan dan kad kredit mangsa kononnya untuk tujuan pengesahan dan semakan. – Agensi