PEJAM celik, pejam celik, usia perkahwinan penyanyi terkenal Datuk Awie bersama isteri baharunya, Datin Sharifah Ladyana Syed Samsuddin sudah hampir mencecah tujuh bulan.
Seperti pasangan-pasangan baru berkahwin yang lain, Awie, 49, turut memasang harapan agar dikurniakan cahaya mata segera menerusi perkahwinan ketiganya.
Pun begitu, buat masa ini, Awie memberitahu isterinya belum lagi mengalami tanda-tanda kehamilan seperti wanita yang sedang mengandung.
“Saya tunggu juga mana tahu ada khabar gembira nanti. Buat masa ini belum lagi. Jadi doakan saja.
“Berkenaan makanan itu, sejak dua hari lalu saya memang teringin nak makan. Bukan sebab alahan atau mengidam pun,” katanya kepada Harian Metro berhubung gosip dirinya dikatakan mengidam asam sejak kebelakangan ini.
Awie dan Ladyana, 30, mendirikan rumah tangga pada 7 Oktober tahun lalu di Thailand.
Ini adalah perkahwinan ketiga buat Awie. Sebelum ini, Awie pernah mendirikan rumah tangga dengan Arni Nazira Anuar pada tahun 1998. Namun, perkahwinan itu hanya bertahan lapan tahun.
Pada tahun 2006, Awie kemudian menikahi Rozana Misbun. Namun, akibat konflik mereka tidak tinggal sebumbung sebelum bercerai pada tahun 2014.
Menerusi perkahwinan dengan Arni, Awie dikurniakan dua anak perempuan iaitu Puteri Aleeya Antasha, 16, dan Puteri Aleefa Antasha, 14.
Bersama Rozana, Awie memperoleh tiga anak iaitu Putra Ahmad Merrah, 9, Putra Ahmad Rezzki, 8, dan Puteri Qasseh Antasha, 6.
Dalam perkembangan lain, Awie bakal muncul dalam Konsert Wings & Superfriends Belenggu Irama di Istana Budaya pada hujung minggu ini. –