Azmin Kata Hanya "Segelintir" Pemimpin PAS Mahu Putus Dengan PKR


ALOR SETAR - Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mendakwa hanya"segelintir" sahaja ahli PAS yang mahu PAS memutuskan hubungan kerjasama politik atau tahaluf siyasi dengan partinya.

Justeru itu beliau enggan membuat sebarang spekulasi tentang hubungan antara PAS dan PKR yang hangat diperbahas di kalangan perwakilan PAS di muktamar ke-63 parti itu yang sedang berlangsung di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut, di sini.

"Kita tak boleh buat spekulasi..tunggu lah majlis syura buat keputusan rasmi, sebelum ini hanya segelintir ahli PAS sahaja yang membangkitkan isu berkenaan," katanya dalam satu kenyataan memetik laporan Sinar Harian.

Walau bagaimanapun, Azmin seolah-olah belum berputus asa untuk terus memujuk PAS supaya kekal bertahaluf siyasi dengan PKR dan optimis mengatakan PAS akan mengukuhkan lagi gabungan Pakatan Harapan.

Menurut Menteri Besar Selangor itu, setakat ini PKR masih lagi menunggu keputusan Majlis Syura Ulama PAS berhubung isu berkenaan sebelum sebarang tindakan lanjut diambil.

"Saya yakin kepimpinan tertinggi PAS akan membuat keputusan atas semangat untuk mengukuhkan semangat pakatan," katanya ketika ditemui media selepas menghadiri Konvensyen PKR Pulau Pinang yang diadakan di Seberang Jaya, semalam.

Hadir merasmikan konvensyen berkenaan adalah Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai nasib barisan Exco dari PAS di Selangor, Azmin berkata, sebarang keputusan mengenai kedudukan mereka hanya akan diputuskan selepas Majlis Syura Ulama membuat keputusan  rasmi mengenai usul tersebut.

Pada 27 April lalu, Muktamar Dewan Ulama PAS Pusat sebulat suara meluluskan usul supaya tahaluf siyasi antara PAS dan PKR ditamatkan.

Sementara itu, Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat juga meluluskan usul yang sama semalam. - Kedahnews.com