Perancangan rapi yang dilakukan sejak tahun lalu oleh pasukan wanita Kedah kini membuahkan hasil. |
PENCAPAIAN cemerlang pasukan wanita bola sepak yang muncul juara Liga Bola Sepak Rakyat Wanita (LBRW) 2017 dan terbaru naib juara Piala Tun Sharifah Rodziah (PTSR) 2017 nyata membuka mata ramai pihak.
Ketua Jurulatihnya, Zulkifli Jaafar berkata, sekurang-kurangnya lima pemain wanita Kedah akan dipanggil bersama skuad kebangsaan dan pihaknya kini sedang menunggu maklumbalas dari Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Menurutnya, usaha keras jurulatih dan pengurusan yang membentuk pasukan pada penghujung tahun lalu dilihat semakin membuahkan hasil.
"Biarpun gagal meraih piala kedua tahun ini namun kami tetap bersyukur kerana Kedah berjaya melangkah ke final buat kali pertama dalam sejarah kejohanan PTSR sebelum tewas tipis kepada Sarawak 1-0.
Kehilangan pemain tengah, Nurliyana Soberi cukup dirasai oleh kami pada perlawanan akhir namun saya percaya pemain-pemain berjaya meraih pengalaman berguna pada kejohanan ini," katanya.
Zulkifli berkata, Kejayaan itu berjaya membaiki pencapaian musim lalu yang berada di kedudukan ketiga kejohanan.
Bagaimanapun masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki oleh barisan jurulatihnya untuk memastikan Kedah mampu untuk terus bersaing pada masa akan datang.
"Kami bermula daripada bawah melalui beberapa perlawanan persahabatan yang telah diatur sebelum menyertai kejohanan LBRW 2017 dan pemain-pemain yang sama inilah mengalas tugas di PTSR pula," katanya.
Sumber: Sinar Harian