BN Kedah Sudah Bersiap Siaga Hadapi PRU14


ALOR SETAR – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata pihaknya telah bersiap sedia bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 jika ia berlaku dalam tempoh terdekat.

“Setakat ini jentera parti sama ada UMNO ataupun BN Kedah, kita memang dah bersedia dari awal lagi di semua peringkat iaitu bahagian, cawangan dan Pusat Daerah Mengundi (PDM).

“Saya pun dah pergi buat lawatan di bilik-bilik gerakan di peringkat Parlimen, jadi makna kata kita dah bersedia kiranya kalau Perdana Menteri umum bila-bila masa pun jentera parti memang dah bersedia di semua peringkat.

“Ini arahan yang diberi oleh ibu pejabat kepada UMNO dan BN supaya kita siap awal boleh dikatakan sejak tahun lalu kita dah sedia, walaupun tempoh masa boleh sampai tahun depan," katanya.

Ahmad Bashah yang juga Menteri Besar berkata beliau juga yakin, rakyat Kedah dapat menilai jasa dan sumbangan yang dilakukan kerajaan selama ini yang banyak membuat perubahan demi membela nasib rakyat di seluruh negeri dan negara.

“Kita yakin rakyat sekali lagi akan memberi kepercayaan kepada BN di Kedah, insya-Allah,” katanya. – BERNAMA