Bukan 1, Tapi 2 Janin Ditemui Di Pelabuhan Utara

DUA janin yang ditemui di atas jambatan Jalan Parang, pelabuhan Klang, pagi Sabtu lalu.
SHAH ALAM - Bukan satu tetapi dua janin yang sebenarnya ditemui di atas jambatan Jalan Parang, Pelabuhan Utara jam 9.50 pagi, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mohd Yusoff Mamat berkata, salah satu janin berkenaan dianggarkan berusia tujuh bulan dan dipercayai perempuan manakala seorang lagi dipercayai janin lelaki berusia lima bulan.

Katanya, kedua-dua janin itu berbungkus dengan kertas surat khabar dalam dua plastik hitam berlainan.

"Hasil laporan bedah siasat, tiada kecederaan nyata serta kecacatan fizikal ditemui pada kedua-dua janin berkenaan.

"Bagaimanapun, kedua-duanya sudah mula mereput serta terdapat lubang pada dada dan paha kiri janin perempuan manakala janin lelaki mereput di bahagian kepala sehingga menampakkan tengkorak serta bahagian dalam leher," katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Beliau berkata, bedah siasat turut mendapati organ kedua-dua janin sudah reput menyebabkan punca kematian tidak dapat dipastikan.

"Janin perempuan itu dipercayai sudah meninggal kira-kira seminggu kerana tali pusatnya sudah kering manakala janin lelaki masih mempunyai uri bersamanya," katanya.

Mohd Yusof berkata, pihaknya masih menyiasat kaitan antara kedua-dua janin itu serta sedang menunggu laporan Asid Deoksiribonukleik (DNA).

"Polis tidak menolak kemungkinan janin-janin itu yang ditemui dibuang oleh klinik yang menjalankan aktiviti pengguguran haram.

"Bagaimanapun tindakan selanjutnya akan dijalankan selepas keputusan DNA itu diperolehi," katanya.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan iaitu menyembunyikan kelahiran.

Sumber: BH Online