Cari Tempat Bergantung: Mahfuz Bidas Naib Presiden PAS


ALOR SETAR - Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar membidas kenyataan Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang sebelum ini mendakwa dirinya kini sedang mencari tempat untuk bergantung.

Mahfuz berkata, beliau hanya bergantung kepada Alah SWT dan tidak pada orang lain sebagaimana yang dikatakan Mohd Amar.

"Saya senyum saja.

"Saya tidak mencari tempat bergantung selain dari Allah SWT. Itu jawapan saya. Saya harap Nik Amar tidak perlu menimbulkan isu mencari tempat bergantung," katan beliau dalam satu kenyataan, semalam.

Mahfuz turut menegaskan bahawa keengganan beliau untuk tidak keluar dari PAS tidak ada kena mengenai dengan bai'ah yang dibuat pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 yang lalu.

"Saya tidak pernah timbul soal bai'ah dan sebagainya," katanya.

Sebaliknya Mahfuz mendakwa, beliau tidak keluar dari PAS dan lantang mengkritik parti serta kepimpinan PAS adalah kerana sayang pada parti berkenaan.

"Bagi saya kerana yang penting bagi saya kerana saya sayangkan PAS. Sebab itu saya terus mengkritik, bukan mengkritik tetapi menegur, memberikan pandangan yang berbeza kerana sayang saya kepada PAS," ujar beliau mengemukakan alasan.

Mahfuz sebelum ini mencetus kemarahan pemimpin dan ahli PAS apabila begitu lantang mengkritik PAS ekoran pendirian parti itu yang enggan bersekongkol dengan Pakatan Harapan bagi menghadapi PRU ke-14.

Walau bagaimanapun, Mahfuz menjelaskan bahawa beliau tidak berkecil hati dengan kenyataan Mohd Amar dan menganggapnya sebagai salah satu asam garam politik yang harus ditelan.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu turut mendakwa beliau masih sayangkan PAS dan tidak mahu meninggalkan parti itu. - Kedahnews.com