Celup Tangan Anak Tiri Dalam Air Panas, Bekas Peserta AF9 Didakwa


PETALING JAYA - Bekas peserta Akademi Fantasia musim ke-9 (AF9) Mohammad Azri Abdullah dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini, pada Jumaat terhadap pertuduhan mendera anak tirinya dengan mencelup kedua-dua tangan mangsa ke dalam air panas, tahun lalu.

Mohammad Azri, 30, yang juga suami kepada bekas juara program Mentor musim kelima, Salma Andi-Asis, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya  dibacakan di hadapan Hakim Mohammed Mokhzani Mokhtar.

Tertuduh didakwa telah melakukan penganiayaan terhadap anak perempuan tirinya, yang kini berumur 10 tahun, dengan mencelup kedua-dua tangan mangsa ke dalam air panas, di sebuah pangsapuri di Seksyen 9, Subang Jaya, di sini, pada 8 pagi, 5 Mei 2016.

Dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya V. V. Suloshani menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin.

Tertuduh yang diwakili peguam Fahmi Abd Moin memohon jaminan yang rendah atas alasan anak guamnya merupakan penanggung tunggal keluarga dan mempunyai tiga anak selain menjaga ibunya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin, berserta syarat tambahan supaya tidak menganggu mangsa dan menetapkan 15 Mei untuk sebutan semula kes.

Azri dan Salma berkahwin pada 31 Jan tahun lalu dan mereka dikurniakan seorang cahaya mata.

Sumber: mStar