Dakwaan Kaya Luar Biasa, Adam Rosly Ditahan SPRM


PUTRAJAYA - Ketua Angkatan Muda Keadilan, Datuk Adam Rosli ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung kekayaannya yang disifatkan luar biasa.

Sumber SPRM memberitahu The Star, Adam, 28 digari dan disoal siasat untuk beberapa jam di ibu pejabat suruhanjaya itu di sini, Khamis.

"Dia dilihat digari ketika berada di lobi SPRM pada kira-kira pukul 4.10 petang," kata sumber itu.


Sumber itu menambah, Adam ditahan pada pukul 3.30 petang, selepas sejam disoal siasat pegawai SPRM.

"Dia kini ditahan untuk tempoh 24 jam," katanya.

Kata sumber itu, suruhanjaya itu akan memohon untuk perintah tahanan reman pemimpim pembangkang itu pada Jumaat.

"SPRM menyiasat kes mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001," katanya.


Adam hadir di ibu pejabat SPRM di sini pada pukul 2.30 petang, Khamis untuk kenyataannya direkodkan bagi kali kedua.

Pegawai khas kepada Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin dilihat memakai baju batik oren dan sempat melayan jurugambar media sebaik memasuki pejabat suruhanjaya itu.

Kekayaannya mendapat perhatian tahun lalu kerana memiliki banglo berbentuk istana di Ampang pada usia muda.

Adam bagaimanapun mempertahankan dirinya dengan memaklumkan kekayaan itu termasuk RM1 juta untuk membeli kediaman mewah itu diperolehi hasil perniagaan yang diceburinya selain mewarisi daripada keluarganya.

Beliau juga memperoleh gelaran Datuk yang dikurniakan Pahang kerana sumbangannya kepada beberapa projek di negeri berkenaan.

Sumber: mStar