"Dalam Akaun PAS Kawasan Ada RM11,000" - PAN


KUALA LUMPUR – Setiausaha Organisasi Parti Amanah Negara (PAN), Suhaizan Kayat mendakwa PAS Johor kini mewah dengan wang ringgit.

Dakwa beliau, perkara itu diakui oleh pemimpin PAS kawasan di Johor bahawa parti PAS kini mewah tidak seperti dulu.

“Ada pimpinan PAS kawasan di Johor menyatakan sekarang tidak macam dulu-dulu. Cari duit mudah. Dalam akaun PAS kawasan ada RM11,000,” dakwanya dalam satu kenyataan di akaun Facebook beliau hari ini.

Beliau mengulas dakwaan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli mempunyai bukti terdapat individu yang rapat dengan PAS menerima dana daripada 1MDB.

Ironinya, Rafizi membuat dakwaan itu sejurus Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang selamat membentangkan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 (RUU 355) di Dewan Rakyat walaupun cuba digagalkan dengan celahan dan provokasi Ahli Parlimen Pakatan Harapan semalam.

Presiden PAS membentangkan RUU 355 yang bertujuan meminda akta bagi memperkasakan fungsi Mahkamah Syariah termasuk meningkatkan kadar hukuman yang boleh dikenakan ke atas umat Islam yang berzina dan minum arak.

Pakatan Harapan yang diketuai parti sekular DAP bersama anggota partinya PKR serta PAN bagaimanapun menentang hebat usaha tersebut sejak tahun lalu.

DAP pernah mendakwa RUU 355 merupakan strategi halus PAS untuk melaksanakan hukum Islam hudud yang zalim, kuno dan tidak bertamadun di negara ini.

PKR dan PAN pula mendakwa RUU 355 tidak boleh dibenarkan kerana ia mengelirukan dan menimbulkan keresahan umat bukan Islam.

Mufti Perlis, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin membantah RUU dengan berhujah Islam melarang menangkap dan menghukum umatnya yang berzina selagi zina itu dilakukan secara sembunyi-sembunyi seperti dalam bilik atau rumah yang berkunci.

Seorang pengguna Facebook bagaimana pun mengeluarkan satu komen berikut di akaun Facebook Suhaizan: – Kedahnews.com

YB Rafizi Hero Tulen atau Tukang Pemfitnah?
1. Tidak cukup dengan fitnah 90 juta oleh Sarawak Report, kini YB Rafizi muncul dengan fitnah terbaru iaitu PAS dapat dana 1MDB pula. Kononnya wang disalur melalui akaun peribadi PM Najib kepada seorang tokoh yang rapat dengan PAS.

2. Cuba lihat taktik modus operandi mereka tetap sama iaitu:
a) lemparkan tuduhan secara samar tanpa bukti.
b) cabar si mangsa yang dituduh untuk kemuka bukti tidak bersalah dan saman mereka yang menuduh.
c) taktik ini tidak susah pun hendak dibaca. Buat tuduhan berulangkali agar orang awam percaya dan imej PAS tercalar teruk.

3. Sehingga ke hari ini pun Sarawak Report tidak pernah mendedahkan bukti PAS terima dana 90 juta. Dalam dakwaan YB Rafizi pula, dia menuduh seorang tokoh yang rapat dengan PAS mendapat dana 1MDB lalu dana itu disalur kepada PAS.

4. Oleh kerana YB Rafizi ni amat terkenal sebagai Hero Pendedah Maklumat, maka PAS sememangnya sedia dan terbuka menanti bukti tuduhan sebegini. PAS sedia disiasat oleh SPRM. Dalam kes 90 juta, SPRM sendiri telah mengesahkan tuduhan yang dilemparkan itu tidak ada bukti. Mudah bukan.? Tuduh sahaja..

5. PAS tidak pernah lupa dengan Episod Drama Langkah Kajang yang kejang dan gagal itu. Bukankah arkiteknya si YB Rafizi ni.? Bukankah akhirnya terbukti di mahkamah bahawa cereka 90mukasurat tuduhan terhadap Tan Sri Khalid itu adalah fitnah dan PKR meminta maaf.

6. YB Rafizi merupakan Naib Presiden PKR. Jadi,tuduhan terhadap PAS ini seolah-olah memberi mesej PKR mahu ‘berperang’ dengan PAS. Semalam di Parlimen pun, Ahli Parlimen PKR antara yang bangun menghalang Tuan Guru Presiden PAS daripada membentangkan RUU 355. Maka, kesemua ini boleh dijadikan asas penilaian dalam membuat keputusan hubungan antara PAS dan PKR di Muktamar PAS pada hujung April nanti.