DAP Musuh Paling Besar, Bukan UMNO - PAS


ALOR SETAR - PAS menegaskan kepada muktamirin yang hadir ke Muktamar PAS kali ke-63 bahawa suasana politik negara terkini menyaksikan DAP merupakan musuh utama parti itu dan bukanlah UMNO lagi.

Perwakilan PAS Pulau Pinang, Mohd Yusni Mat Piah menegaskan bahawa pendirian DAP yang tidak habis-habis menjejaskan usaha mengimarahkan agama Islam di negara ini.

"Musuh paling besar PAS bukanlah UMNO, tetapi DAP yang dilihat sebagai anti Islam.

"Lihatlah bagaimana pemimpin mereka terang-terangan menolak pindaan Akta Mahkamah Syariah (RUU355) dan juga fitnah-fitnah dahsyat yang dilemparkan terhadap PAS," tegasnya ketika berucap membahaskan ucapan dasar Presiden PAS, di sini hari ini.

Selain itu, Mohd Yusni yang difahamkan "anak Memali" itu mengkritik pentadbiran DAP di Pulau Pinang yang gagal mengatasai masalah-masalah semasa di negeri itu walaupun sudah diberi mandat untuk tempoh dua penggal.

Katanya, meskipun DAP menguasai seluruh negeri itu, namun kepimpinan Ketua Menteri, Lim Guan Eng gagal menyelesaikan masalah-masalah yang berlaku.

"Pelbagai isu timbul saat mereka memerintah Pulau Pinang, ada isu air, tanah dan lain-lain," katanya.

Muktamar Tahunan PAS kali ke-63 yang berlangsung di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut di sini hari ini masuk hari kedua menyaksikan para perwakilan membahaskan ucapan dasar Presiden dan mula berbahas usul-usul muktamar. -Kedahnews.com