PETALING JAYA - Pelakon Dazrin Kamarudin bakal melangsungkan perkahwinan dengan gadis pilihannya iaitu Nur Fazulin Razali pada 6 Mei depan.
Dazrin berkata, pernikahannya akan berlangsung di Hotel Avillion Legacy Melaka manakala majlis persandingan dijangka diadakan pada Julai.
“Alhamdulillah jodoh saya sudah sampai dan Insya-Allah saya dan bakal isteri akan melangsungkan pernikahan pada 6 Mei.
“Kami akan bernikah terlebih dahulu sebelum mengadakan majlis persandingan pada Julai depan di Melaka juga,” katanya.
Bercakap mengenai Nur Fazulin atau Zulin, Dazrin berkata, dia berkenalan dengan bakal isterinya yang juga seorang Keua Pramugari sebuah syarikat penerbangan berpangkalan di Jeddah, Arab Saudi itu hampir dua tahun lalu.
Katanya, mereka mula berhubungan menerusi aplikasi Smule kerana masing-masing minat menyanyi sebelum hubungan itu bertambah akrab.
“Sebenarnya aplikasi Smule yang telah mempertemukan kami kerana minat kami terhadap nyanyian.
“Sejak itu hubungan bertambah akrab walaupun dia jarang berada di Kuala Lumpur kerana bekerja sebagai pramugari berpangkalan di Jeddah untuk menguruskan jemaah Haji dan Umrah,” jelasnya.
Kata Dazrin lagi, dia selesa dengan Zulin kerana wanita itu seorang yang sederhana dan mempunyai ciri-ciri idamannya.
“Zulin juga sangat bijak dalam mengatur jadual memandangkan kami masing-masing sibuk dengan tugas seharian.
“Pengalamannya sebagai pramugari membuatkan dia teliti berhubung jadual selain sikapnya yang sederhana menambat hati saya,” jelasnya.
Sementara itu, Dazrin berkata, dia tidak berniat untuk menyorokkan tentang kisah peribadinya sebaliknya enggan menghebohkan perkara yang belum pasti kepada umum.
“Saya bukan cuba merahsiakan mengenai hubungan dengannya tetapi rasanya tidak ada apa yang perlu digembar-gemburkan memandangkan masih belum ada ikatan sah dengannya.
“Sekarang sudah ada perancangan dan tarikh nikah bolehlah saya bercakap mengenainya secara terbuka,” ujarnya.
Tempoh sebulan sebelum bergelar suami, Dazrin memberitahu dia dan Zulin sedang giat membuat persiapan dan seperti pasangan lain, dia juga sudah mula merasai debaran sebelum disatukan sebagai suami-isteri.
“Alhamdulillah persiapan sedang dijalankan malah Zulin juga sudah mula bercuti untuk majlis kami itu nanti.
“Sudah tentu saya rasa berdebar dan semoga peminat mendoakan kebahagian buat kami berdua,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Dazrin berkata, dia baharu sahaja selesai menjalani penggambaran drama Jangan Ikut Aku untuk siaran TV3.
Sumber: mStar