ALOR SETAR – Polis tidak meluluskan permohonan permit debat antara Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dengan Naib Ketua Umno Bahagian Pokok Sena, Haris Che Mat.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, penolakan permohonan itu adalah sebagai langkah terbaik untuk menjaga kepentingan awam.
“Permohonan ini telah pun kita proses dan buat keputusan untuk tidak membenarkan permohonan ini diteruskan memandangkan terdapat unsur-unsur dan isu keselamatan yang boleh menggugat ketenteraman awam jika debat ini diteruskan.
“Tajuk debat itu sendiri juga adalah tidak bersesuaian untuk dibincangkan dalam platform yang dipohon dan perkara ini telah pun saya maklumkan kepada pihak pemohon, mereka faham serta akur dengan keputusan pihak polis,” katanya.
Menurutnya, pemohon bagaimanapun boleh membuat rayuan kepada pihak yang lebih tinggi iaitu Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar jika berhasrat mahu meneruskan cadangan debat itu.
“Sekiranya ada pihak yang meneruskan juga perdebatan itu secara sembunyi dan berlakunya perhimpunan, mereka boleh dikira melanggar Akta Perhimpunan Aman 2012 dan boleh diambil tindakan.
“Setakat ini semuanya bertindak profesional dan boleh berfikir matang atas nasihat dan saranan daripada pihak polis. Saya percaya dalam isu ini masing-masing boleh bertindak profesional mengikut undang-undang,” katanya.
Sebelum ini, satu notis makluman program debat antara Mukhriz dan Haris telah dihantar ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar sebagai permohonan kebenaran diadakan debat pada 27 April atau pada 5 Mei.
Tujuan debat itu diadakan adalah untuk memperjelaskan perkara-perkara yang dibangkitkan oleh Haris mengenai punca kekayaan dimiliki bekas Menteri Besar Kedah itu yang didakwa mencecah berbilion ringgit.
Sumber: Sinar Harian