Dewan Ulama PAS Nasihat Rafizi Supaya Bertaubat


KUALA LUMPUR – Dewan Ulama PAS Pusat menasihati Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli supaya segera bertaubat kepada Allah S.W.T diatas dosa-dosanya yang sering merosakkan nama-nama baik orang lain demi kepentingan politik.

Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri berkata, rakyat telah menilai betapa gelojohnya pemimpin PKR itu dalam membuat tuduhan yang berasaskan kebencian serta berdasarkan cakap -cakap dan dengar-dengar sahaja

“Semuanya hanya bersifat sangkaan untuk mencipta persepsi jahat. Betapa ramai rakyat Malaysia yang jatuh berdosa menyebarkan tuduhan kerana ia dicetuskan oleh seorang bergelar Yang Berhormat.

“Allah S.W.T berfirman dalam surah al-Ahzab ayat 58 (Dan orang-orang yang menyakitkan orang-orang beriman lelaki dan perempuan dengan sesuatu yang tidak dilakukannya maka mereka telah menanggung kejahatan tuduhan palsu dan dosa yang sangat nyata),” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau mengulas tuduhan terbaru Rafizi ke atas bekas Naib Presiden PAS yang kini Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMMF), Datuk Dr. Nasharudin Mat Isa kononnya menerima duit daripada akaun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Rafizi membuat tuduhan secara terbuka itu bagi mengalih perhatian orang ramai daripada kisah penentangan PKR terhadap usaha memperkasakan peranan Mahkamah Syariah yang menimbulkan kemarahan umat Islam Malaysia.

Pemimpin PKR itu juga dipercayai berbuat demikian bagi memberi reputasi buruk ke atas PAS kerana PAS kini dianggap sebagai musuh Pakatan Harapan yang diketuai parti sekular DAP yang perlu ditumbangkan secepat mungkin.

Rafizi sebelum ini juga sering melemparkan pelbagai tuduhan ke atas Perdana Menteri dan kerajaan Barisan Nasional (BN). –Kedahnews.com