"Drama": UMNO, PAS Akan Hilang Undi Kerana Bentang RUU355, Kata Rafizi


ALOR SETAR - Hanya kerana gara-gara Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang membentang usul pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 di Dewan Rakyat pagi semalam, UMNO dan PAS pula dikatakan akan hilang undi pada Pilihan Raya Umum ke-14 nanti.

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, pindaan RUU 355 yang dibentang Abdul Hadi itu disifatkan sebagai 'drama' dan ia akan mengakibatkan pengundi atas pagar tidak akan memberi undi pada kedua parti Melayu beragama Islam itu.

"Lebih lama drama ini dimainkan di khalayak Melayu, PAS dan Umno akan hilang lebih banyak undi daripada pengundi atas pagar, dan semakin ramai sedar ini cuma mainan politik berbanding usaha ikhlas mereka," katanya dalam satu kenyataan selepas usul berkenaan dibentang.

Malah Rafizi dalam kenyataannya turut menempak Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, yang dikatakan kononnya sudah "kehabisan modal" setelah memberi laluan kepada pindaan Akta 355 itu dibentang.

Presiden PAS semalam mencipta sejarah apabila buat pertama kalinya berjaya membentang usul pindaan membabitkan Akta Mahkamah Syariah itu di Dewan Rakyat setelah beberapa draf berkaitan hudud yang dikemukakan PAS sebelum ini ditolak mentah-mentah oleh Tun Dr Mahathir ketika beliau menjadi Perdana Menteri.

Sementara itu, Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hasan Tantawi dilihat menangis terharu ketika Abdu Hadi membentang usul yang dibincang bersama UMNO sebelum ini bagi kepentingan perundangan Syariah dan umat Islam di negara ini. - Kedahnews.com