TEMBERANG bomoh bukan isu baru. Dedahlah apa sahaja penipuan dan muslihat bomoh, namun esok tetap orang akan berbomoh juga!
Fatwalah apa pun jua hukum Allah; sedikit yang takut tetapi esok tetap ada yang masih berbomoh.
Bomoh datang dan pergi, berubah atau bertaubat. Tetapi satu mengundur diri pasti ada yang lain tampil menawarkan kuasa sakti.
Tahun 1992 – Seorang ahli politik tersohor sedang melalui krisis awal kejatuhannya. Isu skandal seks. Ketika memuncak detik menjelang kejatuhannya dia ditawarkan khidmat bomoh.
Konon dirinya dikhianati orang yang dipercayai. Modus operandi sindiket bomoh ini mudah tetapi strategik. Krisis politik dan detik kejatuhan ahli politik boleh diduga apabila berlaku krisis.
Jadi, seseorang yang dekat dengan bomoh akan menyampaikan berita kepada seseorang yang dekat dengan ahli politik yang bermasalah.
“Tuan Mahaguru saya bermimpi, ada khianat berlaku. Puncanya sihir. Ada benda yang diletakkan di rumah pemimpin kamu bagi memusnahkan kerjaya politiknya,” kata broker si bomoh.
Balachi si pemimpin akan segera menyampaikan berita ini kepada bosnya. Jadi, ketika sedang berkemelut menuju detik kejatuhan, khidmat si bomoh dipelawa.
Maka bermulalah modus operandi si bomoh. Caranya mudah: Orang suruhan bomoh akan ke Jalan Petaling, membeli patung Buddha kecil lalu dibungkus dengan kain kuning. Di dalamnya diletakkan segumpal rambut.
Lewat malam, dengan menaiki motorsikal, bungkusan patung yang dilumati telur tembelang dan kotoran tanah dilempar di sudut pagar rumah ahli politik yang malang.
Esok siang pula, si bomoh pun berkunjung ke rumah pemimpin politik yang sudah tidak keruan itu. Segera dimulakan ritual.
Konon tubuh dimasuki syeikh dari Makkah dan disampaikan berita: “Ada sihir jahat di sekitar rumahmu!”
Si Bomoh bangun lalu berjalan, tapi dipimpin seseorang. Dengan tubuh yang konon sedang dikuasai syeikh Mekah, si bomoh keluar lalu menuju ke laman.
Si bomoh tidak memimpin jalan, tapi dipimpin budak suruhannya menuju sudut pagar laman rumah.
“Di sini! Sihirnya di sini!” Kata si bomoh.
Budak suruhan segera melangkah menuju ke arah yang ditunjuk si bomoh. Sekali dua meraba dalam gelap, akhirnya ditemukan bungkusan kecil yang kotor dan berbau busuk sekali.
“Nah, ini sihirnya,” kata si bomoh setelah budak suruhannya menyerahkan bungkusan kuning yang kotor dipenuhi keledak tanah.
Bungkusan dibuka. Di dalamnya ada patung Buddha dan gumpalan rambut. Jadi, para sahabat rapat ahli politik terkedu. Semua percaya, pemimpin mereka dikhianati orang.
Ini muslihat biasa. Popular pada era politik sesat dan gelap tahun lapan puluhan.
Cajnya tidak mahal. Ketika rundingan, budak suruhan sudah menyampaikan sebut harga pada balachi politik. Malam itu juga, RM30 ribu dibayar.
Inilah tahap kesesatan ahli politik, bomoh dan para baruah yang menjadikan sihir sebagai mainan. Bomoh jenis lain pula menawarkan khidmat yang tidak kurang hebat.
Ketika seseorang yang kaya diserang stroke, mereka menyampaikan khabar kepada ahli keluarga bahawa si pesakit diserang sihir Jin Khasan, kononnya nama seekor Afrit yang mengendera kepala ribut.
Akhirnya, si bomoh dijemput merawat. Dibawa sebiji telur lalu diuli dari hujung kaki hingga ke hujung kepala. Mulutnya kumat-kamit. Dua tiga kali telur diuli antara kaki dan kepala, akhirnya si bomoh minta sebuah bekas kecil.
Telur dipecahkan. Di dalamnya terdapat sebilah jarum, beberapa helai rambut dan darah merah beku. Seluruh keluarga pesakit terperanjat. Lalu percaya, mangsa tidak diserang angin ahmar; tapi disihir secara jahat.
Tidak siapa sedar, telur yang dibawa itu ada taktik penyediaannya. Sebiji telur akan ditebuk dengan menggunakan jarum halus yang hujungnya dipanaskan. Dari lubang itu, jarum dimasukkan ke dalam telur.
Dari lubang yang sama, mata rambut yang tajam dimasukkan perlahan-lahan. Kemudian dengan menggunakan jarum picagari, disuntik sirap pekat ke dalam telur.
Penutupnya mudah. Cairan lilin dititis pada lubang telur yang halus itu. Kemudian digosokan jadi licin hingga lulut telur nampak licin dan rata.
Apa yang dilihat keluarga pesakit dalam besen selepas telur dipecahkan hanyalah fitnah yang direka.
Si bomoh meneruskan rawatan, konon mematikan bisa sihir. Pesakit dikatakan akan pulih tetapi mengambil masa. Cajnya boleh jadi RM300 hingga RM1 ribu. Ini taktik biasa dan diamalkan puluhan bomoh yang sohor namanya.
Sudah sampai masa semua bomoh penipu ini diseret ke muka pengadilan. Barang kali sudah masanya juga, kita mendengar satu demi satu kisah taubat mereka!
Kalau dibiarkan, kejahatan mereka adalah perbuatan celaka yang merosakkan agama. –Kedahnews.com