Eksklusif: IMAN Ubah Persepsi Kami Pada Kerajaan Negeri Kedah


ALOR SETAR - Golongan mahasiswa disarankan supaya tidak terlalu terpengaruh dengan dakwaan-dakwaan liar dan tidak benar yang tersebar di media sosial yang sering memburuk-burukan Kerajaan Negeri Kedah serta kepimpinannya.

Peserta program Internship Anak Muda Negeri (IMAN) Kedah, Noor Idayu Rosli berkata, rata-rata mahasiswa yang sebelum ini mempunyai persepsi negatif tersebut perlu tahu bahawa realitinya tidaklah seperti yang mereka sangkakan selama ini.

"Sebelum ini, saya sememangnya lebih cenderung kepada memandang negatif terhadap pihak kerajaan. Tapi naluri saya mengatakan bahawa saya tak boleh dengar dari satu pihak saja. Saya perlu cari dan lalui sendiri pengalaman bersama kerajaan.

"Saya sahut cabaran dan sertai program ini. Sepanjang 6 bulan ini, saya pelajari macam-macam perkara. Banyak sangat saya dapat di sini. Saya lalui sendiri pengalaman sebagai kerajaan dan ia mengubah persepsi saya selama ini," kata pemegang ijazah sarjana muda dalam bidang psikologi dari Universiti Nottingham itu.

Jelas Noor Idayu, terlalu banyak peluang yang disediakan Kerajaan Negeri kepada rakyat negeri Kedah terutama dalam usaha memperbaiki status sosio-ekonomi dan mengutamakan kebajikan mereka, termasuk kepada golongan anak muda serta mahasiswa universiti.

Katanya, ia adalah terpulang pada individu itu sendiri sama ada mahu mengambil tahu dan merebut peluang yang disediakan Kerajaan Negeri untuk memperbaiki kehidupan masing-masing ke tahap yang lebih baik.

Malangnya kata Noor Idayu, dia agak terkilan kerana dituduh sebagai "makan dedak" setiap kali cuba memberitahu hakikat sebenar tentang usaha dan komitmen Kerajaan Negeri untuk membantu rakyat Kedah yang disifatkan sebagai murni itu.

"Tapi saya anggap itu sebagai satu cabaran baru. Saya tidak marah kerana saya dulu pun begitu. Cuma agak terkilan sedikit bila kita cuba beritahu perkara yang sebenar, tapi dituduh pula 'makan dedak'," ujarnya.


Noor Idayu ditempatkan di bawah seliaan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah (SUK), Datuk Bakar Din dan kemudian dipinjamkan ke bahagian Komunikasi Korporat yang menggalas tanggungjawab menerima aduan-aduan awam.

"Di media sosial, saya lihat banyak komen yang mengatakan konon Kerajaan Negeri tidak dengar suara rakyat.

"Tapi saya merasai pengalaman dalam Kerajaan Negeri yang mengunakan pendekatan yang sebaliknya. Kami bukan saja mendengar aduan yang mewakili suara rakyat, malah kami cuba sedaya upaya menyelesai dan memantau supaya masalah awam itu tidak lagi berlaku.

"Jadi, Kerajaan Negeri terbukti buat kerja untuk rakyat serta berkesan dalam mendengar suara rakyat Kedah dan komited menyelesaikan masalah yang mereka hadapi," katanya kepada Kedahnews.com, yakin dengan keupayaan Kerajaan Negeri yang diterajui Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Lebih menarik katanya, setiap peserta IMAN diberi kebebasan untuk menyumbang pandangan dan idea baru dalam usaha menambahbaik, "menyegarkan" lagi prosedur-prosedur sedia ada untuk memberikan impak yang lebih baik.

"Sebagai contoh, idea saya untuk mewujudkan manual aduan awam telah diterima baik dan mungkin manual ini akan dapat menjadi panduan dan rujukan pada masa akan datang. Malah jika ada kekurangan lagi, ia boleh ditambah baik lagi.

Noor Idayu juga melahirkan rasa bertuah kerana diberi peluang untuk mengambil bahagian dalam majlis rasmi dan istiadat khas, di mana ia telah menambah luas lagi pengalamannya selaku anak negeri Jelapang Padi ini.

Dia berharap agar program bermanfaat seperti ini dapat diperluaskan lagi dengan memberi peluang kepada lebih ramai graduan anak Kedah untuk memajukan diri dan merasai pengalaman serta tanggungjawab terutama kepada kepentingan rakyat.


Bagi Muhammad Iffat Sukeri, 23, yang bertugas di Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Kedah, program IMAN memberikan pendedahan dari pelbagai sudut khususnya dari segi pentadbiran dan pengurusan sesebuah kerajaan negeri.

Katanya, program berkenaan telah mengubah dirinya untuk memberikan yang terbaik dari sudut komitmen dalam menggalas tanggungjawab serta amanah yang diberikan dalam mengutamakan kebajikan rakyat di negeri ini.

Muhammad Iffat berkata, mereka yang memandang remeh dan memperlekeh peranan Kerajaan Negeri sewajarnya merasai sendiri pengorbanan, usaha dan komitmen penjawat awam negeri sebelum melemparkan persepsi negatif yang tidak berasas.

Tegasnya, sepanjang enam bulan berperanan di UPEN, kerajaan negeri bekerja keras memberikan yang terbaik demi kepentingan dan kebajikan rakyat di negeri ini.

"Kita perlu duduk di dalam kerajaan terlebih dahulu, selepas itu barulah kita tahu sama ada pihak kerajaan negeri ini bekerja keras untuk kepentingan rakyat atau tidak.

"Pengalaman selama 6 bulan ini, saya tengok sendiri bagaimana semua pegawai dan kakitangan bekerja keras untuk rakyat Kedah. Walau pukul 5 tamat waktu bekerja, tapi selalunya malam baru balik.

"Malah ada yang lewat malam baru balik ke rumah," jelasnya menafikan dakwaan kononnya kerajaan negeri tidak bekerja keras untuk rakyat Kedah.

Selain itu, Muhammad Iffat turut menafikan dakwaan kononnya Kerajaan Persekutuan mengabaikan Kerajaan Negeri Kedah.

Malah katanya, hasil hubungan baik di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri, banyak program dan projek dapat dilaksanakan untuk membangun serta memajukan negeri Kedah khususnya dalam hal ehwal kebajikan rakyat.


"Kerajaan negeri Kedah amat bertuah kerana diberi perhatian oleh Kerajaan Persekutuan. Saya lihat, Kerajaan Persekutuan banyak memberi peruntukan untuk pembangunan dan kemajuan di negeri ini sepanjang tempoh 6 bulan di sini.

"Mungkin kerana hubungan baik antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan, mudah kita dapat peruntukan, khususnya dalam bentuk pinjaman kewangan untuk membiayai projek pembangunan di sini," kata Muhammad Iffat.


Muhammad Iffat merancang untuk melanjutkan pelajarannya ke peringkat lebih tinggi sekiranya tidak menerima tawaran untuk diserap masuk sebagai kakitangan awam Kerajaan Negeri selepas tamat menjayakan program IMAN.

Namun jelas graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu, dengan pengalaman dan pendedahan yang diterima melalui program tersebut, dia lebih positif dalam membina kerjaya pada masa yang akan datang.

"Saya mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah kerana mengambil inisiatif mewujudkan sebuah program untuk mahasiswa anak negeri ini.

"Ia memberi peluang kepada kami anak-anak Kedah untuk berbakti kepada Kerajaan Negeri dan rakyat Kedah. Walaupun 6 bulan sahaja, tapi kami dapat banyak belajar tentang pentadbiran sebuah kerajaan negeri.

"Kalau boleh kami nak 'extend' lagi, insyaAllah jika ada rezeki mungkin diserap masuk jadi kakitangan Kerajaan Negeri," katanya kepada Kedahnews.com.


Program IMAN buat pertama kalinya diperkenal oleh Ahmad Bashah bagi memastikan kelangsungan pembangunan modal insan dan kecemerlangan pendidikan anak-anak negeri Kedah supaya seiring arus pembangunan negara ke arah negara maju.

Menteri Besar Kedah mengambil inisiatif mewujudkan program ini memberi fokus dan amat menghargai generasi muda di Kedah dengan penyediaan pelbagai inisiatif dan program bagi mencapai matlamat tersebut.

Selain itu, program IMAN juga dilihat dapat memberi pendedahan kepada graduan anak Kedah untuk memahami peranan Kerajaan Negeri dan memberi pengalaman kepada mereka dari aspek kepimpinan secara holistik.

Program IMAN difahamkan berakhir hari ini di mana 25 peserta pertama pada sesi kali ini akan diraikan dalam satu majlis makan malam graduasi yang diadakan di sini, malam ini. - Kedahnews.com