EKSKLUSIF: Jom Beramai-Ramai Serbu Karnival Syoknya!


ALOR SETAR – Buat julung-julung kalinya rakyat di zon utara tanah air bakal berpeluang untuk merasai sendiri pengalaman mengharungi cabaran “Istana Takeshi” di Karnival Syoknya yang akan berlangsung pada 18 Mei hingga 21 Mei nanti.

Dibawakan khas ke negeri Jelapang Padi, cabaran ini yang berbentuk “inflatables” sepanjang 150 meter dan diiktiraf sebagai terpanjang di rantau Asia Tenggara akan menjanjikan keriangan serta pengalaman luar biasa yang tidak akan dilupakan seumur hidup.

“Cabaran Istana Takeshi yang akan kami bawakan nanti tercatat di dalam Malaysia Book Of Records sebagai cabaran paling panjang di negara kita, dan ia juga merupakan yang terpanjang di Asia Tenggara.

“Kami yakin, ramai yang tidak sabar merasai sendiri pengalaman mengujakan ini khususnya orang Kedah. Bawalah seisi keluarga, dewasa atau kanak-kanak, ia sesuai untuk semua peringkat masyarakat,” kata wakil penganjur, Nisah Abdul Karim kepada Kedahnews.com dalam satu temubual eksklusif baru-baru ini, di sini hari ini.

Berkolaborasi dengan penganjuran Karnival Amal Hari Penyayang Kali Ke-19 anjuran Yayasan Sultanah Bahiyah (YSB), Karnival Syoknya turut akan menyediakan 200 gerai pameran dan jualan yang bakal menawarkan pelbagai produk terkenal dan amat sesuai untuk tujuan membeli belah sempena Ramadhan atau Aidilfitri tidak lama lagi.


Selain itu katanya, bertempat di perkarangan Stadium Darulaman, pelbagai acara menarik juga menanti para pengunjung untuk pelbagai peringkat umur.

“100 buah Harley Davidson akan berkampung di sini, Mitsubishi juga akan persembah 4x4W Red Peak Challenge. Malah kita akan disajikan pula oleh 20 buah Food Trucks yang top, sedang menjamu selera nanti boleh pula berswafoto dengan maskot Superheroes.. memang menarik.

“Antara yang akan menyertai kita adalah jenama tudung terkenal dari Neelofa, Naelofar Hijab, pakain seperti Felinna, De’Xandra dan banyak lagi. Ada produk hiasan dalaman iDeco, ada syarikat automotif seperti Volkswagen, Honda, Proton dan sebagainya. Syarikat telekomunikasi pun ada.

Sejajar dengan tujuan penganjuran karnival, Nisah turut menjelaskan perancangan pihaknya untuk meraikan golongan anak yatim di karnival itu nanti selain menjemput skuad bola sepak Kedah untuk memeriahkan lagi suasana di perkarangan stadium tersebut.

Berkonsepkan “Berhibur sambil Beramal”, Nisah turut menjelaskan bahawa sebahagian dari hasil jualan tiket cabaran Istana Takeshi akan disalurkan kepada badan-badan amal dan kebajikan yang terdapat di sekitar negeri Kedah.


Beliau berkata, beberapa acara lain yang bakal dianjurkan ialah Larian Amal, Jualan Lelong Amal, Pertandingan Memancing, Pertandingan Melukis dan Mewarna, Lumba Basikal, Kempen Derma Darah, Pertandingan Buskers dan persembahan dari penyanyi-penyanyi tempatan.

“Selain kita dihiburkan oleh penyanyi-penyanyi tempatan, ada pertandingan Buskers dan persembahan pancaragam hebat dari beberapa sekolah terpilih di negeri ini. Meriahlah nanti karnival kita,” katanya lagi.

Bermula dari 10 pagi hingga ke 10 malam, Nisah juga menjelaskan pihaknya memberikan potongan harga istimewa kepada sekolah-sekolah, institusi-intitusi pengajian tinggi,  syarikat korporat atau orang ramai yang berhasrat mengharungi cabaran “Istana Takeshi” secara berkumpulan.

“Untuk kumpulan yang 50 orang ke atas, kita akan berikan diskaun dan harga pakej istimewa termasuk baucar makanan, hadiah seperti trofi, wang tunai dan sebagainya,” jelasnya.



Justeru itu, Nisah menyeru kepada seluruh rakyat Kedah supaya tidak ketinggalan untuk datang ke Karnival Amal Hari Penyayang dan Karnival Syoknya kali ini yang bakal berlangsung di perkarangan Stadium Darulaman pada 18 Mei hingga 21 Mei ini, bermula jam 10 pagi hingga jam 10 malam. - Kedahnews.com