EKSKLUSIF: Kepentingan Rakyat Sentiasa Jadi Keutamaan Kami


SIK - Kepentingan serta kebajikan rakyat perlu diberi perhatian oleh setiap pimpinan UMNO Bahagian Sik bagi memastikan kehidupan mereka lebih baik dalam menghadapi arus pembangunan negeri dan arus kemodenan negara.

Ketua UMNO Bahagian Sik, Datuk Tajudin Abdullah berkata, dengan memberi khidmat terbaik kepada rakyat di daerah berkenaan maka barulah rakyat akan yakin dengan kepimpinan UMNO dan terus memberikan mandat untuk menjadi wakil rakyat pada Pilihan Raya Umum nanti.

"Sejarahnya kita lihat apa yang berlaku sebelum ini di Sik. Kalah kita dulu sebab tiada muafakat inilah. Mungkin kadang kala kita sebagai manusia tidak lari dari salah dan silap, jadi saya harap sangat supaya kita bersatu padu dan kekalkan kemenangan parti kita di Sik pada PRU ke-14 nanti.

"Silap kita ialah 'politiking' sesama sendiri. Bergaduh untuk kepentingan politik masing-masing. Itu akan merugikan parti dan merugikan rakyat. Perjuangan kita untuk rakyat, berkhidmatlah kita untuk rakyat, bukan untuk diri sendiri.

"Sepatutnya itu semua tidak berlaku dan saya selaku Ketua Bahagian berlapang dada mahu semua titik perbezaan diketepikan dan perbalahan dapat diselesaikan dengan baik. Kita perlu solid bersama UMNO dan perjuangannya," katanya ketika ditemubual Kedahnews.com secara eksklusif di sini, baru-baru ini.

Jelas beliau, masalah yang berlaku di Sik sebelum ini menyaksikan perbalahan dalaman di antara Ketua Bahagian, Timbalan Ketua Bahagian, ahli parlimen, adun dan kepimpinan di kawasan tersebut menyebabkan UMNO tewas pilihan raya.

Justeru itu kata Tajuddin, segala titik perbezaan di antara kepimpinan perlu dielak dan usaha perlulah bertumpu kepada pengukuhan kepimpinan parti dan akar umbi bagi memastikan pengundi terus memberi mandat kepada UMNO dan BN di Sik.


"Sik ini UMNO tidak pernah menang 3 - 0 selama 18 tahun sebelum ini. Kalau menang, dia menang satu saja, kalau kalah dia kalah semua. Jadi selepas diberi amanah untuk jadi Ketua UMNO Bahagian Sik oleh akar umbi, saya bertekad untuk menangkan UMNO/BN di Parlimen dan dua Dewan Undangan Negeri (Dun) di Sik, Belantik dan Jeneri.

"Pada PRU ke-14 ini, saya nekad mahu kekalkan kemenangan 3 - 0. Tagline saya, 'Kekal Kemenangan Sik 3 - 0'.

"Bagaimana kita nak kekal? Semua kami di Sik kena bersatu-padu, dari kepimpinan atasan hinggalah ke akar umbi, kami kena sehati sejiwa. Termasuk saya, termasuk kepimpinan bahagian, cawangan dan akar umbi, kita perlu muafakat," tegas beliau.

Mengulas mengenai persediaan UMNO Bahagian Sik bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 nanti, Exco Kerajaan Negeri itu menjelaskan bahawa jentera di bahagian beliau sudah bersiap siaga sepenuhnya untuk menghadapi segala kemungkinan.

Jelasnya, perpaduan di kalangan pimpinan UMNO Bahagian Sik semakin erat dan kata sepakat telah dicapai untuk mempertahankan kerusi Parlimen Sik, Dun Belantek dan Jeneri sedaya upaya menerusi semangat juang yang tinggi.

"Kami sudah bersedia sebenarnya. Sejak Presiden UMNO, Datuk Seri Najib palu gendang perang PRU pada Perhimpunan Agung UMNO tahun lalu, kami sudah pun mula mempergiatkan langkah.

"Dari sudut kepimpinan UMNO Bahagian, kami sudah capai kata sepakat. Apa jua rintangan, akan kami tempuhi bersama. Rakyat Sik jadi keutamaan kami. Kemenangan manis 3 - 0 akan kami pertahankan," katanya bersemangat.

Anak jati Sik itu sudah dua penggal dipilih pengundi sebagai Adun Belantek dan berpengalaman menjadi Adun pembangkang selama sepenggal sebelum dilantik sebagai Exco Kerajaan Negeri selepas BN berjaya merampas kembali pentadbiran kerajaan negeri pada PRU ke-13 yang lalu.

Selain itu, Tajudin juga telah diberi mandat oleh akar umbi untuk mengemudi UMNO Bahagian Sik bagi dua penggal hingga kini. - Kedahnews.com