EKSKLUSIF: Sik Yang Kini, Bukanlah Seperti Yang Dahulu


SIK - "Sik sudah berubah. Sik yang sekarang bukan lagi Sik yang 10 tahun - 20 tahun dulu. Alhamdulillah nikmat yang Allah berikan kepada Sik tidak pernah berkurang, saya bersyukur sangat-sangat," kata Datuk Tajudin Abdullah memula bicara.

Perkembangan daerah Sik yang berkeluasan 1635 kilometer persegi mencakupi 17.35% dari keluasan seluruh negeri Kedah sentiasa berada di dalam radar Ketua UMNO Bahagian Sik itu dalam pelbagai aspek sama ada rakyat, pembangunan sosio-ekonomi dan sebagainya.

Bukan mudah untuk menggalas cabaran memikul amanah di daerah terbesar Kedah yang lebih luas berbanding Perlis dan Pulau Pinang itu, Tajudin tetap konsisten dalam tekad membawa kemakmuran serata-rata, khususnya untuk rakyat di kawasan tersebut.

Jelas beliau, rata-ratanya orang Sik tradisinya melibatkan diri dalam sektor pertanian membabitkan industri getah ekoran kedudukan dan rupa bentuk geografi daerah berkenaan yang luas serta berbukit-bukau, tasik dan lembah.

"Memang agak terkesan bila harga getah jatuh sebelum ini. Namun mereka faham tentang harga getah yang bergantung pada pasaran dunia. Kita pula tidak biarkan mereka tertekan, kita bantu dengan pelbagai bantuan subsidi dan insentif sebelum ini.

"Jadi bila harga getah meningkat hingga ke paras sekarang, mereka syukur sangat. Ramai yang nampak kenaikan harga getah ini berkait rapat dengan usaha Perdana Menteri kita, Datuk Seri Najib Tun Razak ke China baru-baru ini.

"Walaupun Perdana Menteri kita ditohmah kerana mempunyai hubungan baik dengan China dan membawa pelaburan besar ke negara kita, orang Sik sememangnya gembira dan amat berterima kasih pada beliau," kata Exco Kerajaan Negeri itu kepada Kedahnews.com ketika ditemubual secara eksklusif, baru-baru ini.


Lebih membuat Tajudin terharu adalah keperihatinan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah yang berjaya menyelesaikan masalah hak milik tanah yang sekian lama dinantikan anak-anak jati Sik selama ini.

"1742 geran tanah telah diluluskan oleh Menteri Besar Kedah untuk rakyat Sik. Alhamdulillah, selesai masalah yang tertangguh berpuluh tahun sebelum ini.

"Datuk Seri Ahmad Bashah juga telah arahkan saya ke banyak kawasan luar bandar di Kedah untuk selesaikan masalah permohonan rakyat membabitkan hak milik tanah. Kalau boleh, beliau mahu ia diselesaikan segera," kata Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan negeri Kedah itu.

Selain itu Tajudin berkata, dari sudut prasarana dan infrastruktur asas di Sik sememangnya menjadi agenda utama beliau selama berkhidmat di daerah berkenaan.

"Keperluan asas seperti bekalan air bersih, elektrik dan sebagainya memang kita sentiasa utamakan. Kita sedang perkasakan lagi sekarang ini.

"Untuk Sik saja kita dapat dalam RM16 juta untuk projek-projek bekalan air bagi Mukim Sok, termasuklah Nami, Gulau dan Belantik yang melibatkan pembekalan air luar bandar.

"Manakala lampu jalan di Sik pada tahun ini kita dapat 500 batang lampu jalan kampung. Di seluruh Kedah pula keseluruhannya kita sediakan 7,500 unit semuanya untuk kampung-kampung di luar bandar. Makin cerah benderang dah Sik sebelah malam.

Mengulas lanjut, di era teknologi maklumat ini, Tajudin sedang merancang untuk mempertingkatkan lagi capaian telekomunikasi di daerah luar bandar itu bagi memastikan penduduk di sana tidak terlepas dari arus pembangunan negeri.

"Selepas ini saya rancang mahu perbaiki lagi kemudahan infrastruktur telekomunikasi, sosio-ekonomi rakyat di Bandar Baru Sik. Itu antara keutamaan kita di sini. Walau di luar bandar, saya tak mahu Sik tercicir dari arus pembangunan negeri.

"Kita sudah ada 'masterplan' kita untuk membangunkan Sik. Dari sudut pendidikan kita akan bina Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di sini. Saya juga rancang mahu wujudkan kolej dan institut kemahiran di sini.

"Selain itu, kita juga sedang mempergiat aktiviti perniagaan dan keusahawanan di sini, agro tourisme juga kita beri perhatian. Kita ada Tasik Beris dan Tasik Empangan Muda, saya lihat ia amat berpotensi untuk bangunkan sosio-ekonomi orang Sik jika diberi peluang," ujar beliau.

Kata beliau, antara kesan pembangunan yang signifikan di sini adalah pembinaan Jalan Felda Teloi Timur - Sik yang berjaya merubah landskap sosio-ekonomi serta membawa pembaharuan yang memberi faedah kepada masyarakat setempat.

"Jalan Felda Teloi Timur itu sudah berpuluh tahun diminta, tapi di zaman Datuk Seri Najib diberi perhatian dan beliau sendiri yang turun rasmikan majlis pecah tanah.

"Dulu orang Sik nak ke Felda Teloi Timur makan masa 45 minit, tapi sekarang hanya 5 minit saja. Itu telah memberi kesan pada sosio-ekonomi di Pekan Batu 5, Sik. Itu semua berlaku ketika saya dan BN jadi pembangkang di Kedah.

"Selepas ini nak buat pekan kecil pula di Gulau. Kita jangka ia memberi manfaat kepada lebih 3,000 keluarga di sekitar Gulau. Saya sudah luluskan dalam mesyuarat Exco sebelum ini. Di Sungai Senang pun dulu 20 tahun hanya dapat air dari lori, tapi sekarang tidak lagi. Kita dah selesai dah masalah air di situ.

"Kita nak bangunkan semua kawasan di Sik ini secara berperingkat-peringkat. Kena rancang betul-betul dan kenal pasti keperluan serta kehendak rakyat. Yang penting kena ikhlas untuk rakyat, bukan untuk kepentingan diri sendiri. Kita sama-sama bangunkan Sik," ujar beliau.

Mengulas mengenai perbezaan Sik dulu dan sekarang, Tajudin menjelaskan bahawa orang Sik saja yang benar-benar tahu menilai segala pembangunan dan kemajuan tanpa henti yang dibawa BN di daerah berkenaan.

"Jadi saya yakin orang Sik dapat menilai kemampuan BN selama ini dan pada PRU yang lalu mereka memang mengenang budi kita. Mereka beri kemenangan 3-0 kepada kita. Itulah yang berlaku bila kita buktikan kita bekerja untuk rakyat," kata anak jati Sik itu.

Harapan beliau adalah terhadap anak-anak muda di Sik supaya tidak mudah terpengaruh dengan dakyah dan propaganda pihak tertentu yang gemar memecah-belahkan masyarakat melalui isu-isu viral yang tidak tepat dan tidak sahih.

"Cuma saya minta supaya orang muda di Sik tidak mudah diperdaya dengan viral-viral yang tidak benar. Nampak saja sensasi, hanya di atas saja benar manakala yang lain di belakang semuanya progapganda nak pecah-belahkan kita.

"Mereka hanya mahukan kuasa. Usahlah hanya kerana sensasi, perkara yang tidak benar pun kita percaya bulat-bulat. Selidik dulu betul-betul dan gunakanlah sumber yang benar-benar sah. Pahala dapat, Sik pun aman, kan?," kata Adun Belantek itu.

Tajudin berkata demikian ketika ditemubual Kedahnews.com dalam satu wawancara khas secara eksklusif bersama beliau baru -baru ini. - Kedahnews.com